Malaysia sambut baik permohonan prosiding genosid terhadap Israel di ICJ

Tentera Israel menyerang Gaza. Foto AFP
Tentera Israel menyerang Gaza. Foto AFP
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia menyambut baik permohonan Afrika Selatan untuk memulakan prosiding terhadap Israel di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung keganasannya terhadap penduduk Palestin di Semenanjung Gaza, menurut Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan pada Selasa.

Prosiding terhadap Israel itu dibuat mengikut Konvensyen 1948 membabitkan Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid (Genoside Convention).

Permohonan oleh Afrika Selatan itu termasuk permintaan supaya Mahkamah mengambil langkah sementara atau jangka pendek yang mengarahkan Israel supaya menghentikan kempen ketenteraannya di Gaza.

Ia bertujuan untuk melindungi daripada lebih banyak kemudaratan terhadap hak-hak rakyat Palestin mengikut Konvensyen Genosid, dan bagi memastikan pematuhan Israel terhadap kewajipannya berdasarkan Konvensyen itu.

"Tindakan undang-undang terhadap Israel di ICJ merupakan langkah yang tepat dan tegas ke arah kebertanggugjawaban undang-undang terhadap kekejaman Israel di Gaza dan Wilayah Palestin yang diduduki (OTP) secara umum.

"Sebagai Pihak kepada Konvensyen Genosid, Malaysia menggesa Israel supaya memenuhi kewajipannya mengikut undang-undang antarabangsa dan menghentikan segera kekejaman terhadap rakyat Palestin," menurut Wisma Putra.

Malaysia mengulangi gesaannya supaya penyelesaian berkekalan dilaksanakan dengan membenarkan Palestin mempunyai negara berdaulat dan merdeka sendiri berdasarkan sempadan sebelum tahun 1967, dengan Baitulmuqadis Timur sebagai ibu kotanya, menurut kenyataan itu.

Menurut laporan media, sekurang-kurangnya 21,978 penduduk Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, terbunuh dan 57,697 yang lain cedera dalam serangan Israel ke atas Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan. - Bernama

Artikel Berkaitan: