Gempa bumi di Jepun: Tiada rakyat Malaysia terjejas

Beberapa bangunan di bandar Wajima runtuh akibat gempa bumi pada Isnin.
Beberapa bangunan di bandar Wajima runtuh akibat gempa bumi pada Isnin.
A
A
A

PUTRAJAYA - Setakat laporan terkini, tiada rakyat Malaysia dilaporkan terlibat atau terjejas akibat gempa bumi di Jepun pada Isnin, kata Kementerian Luar (Wisma Putra).

Kementerian Luar melalui Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo, sedang memantau rapat perkembangan susulan gempa bumi yang melanda kawasan tengah dan barat Jepun.

"Malaysia menzahirkan rasa simpati dan ucapan takziah kepada mangsa dan keluarga yang terjejas akibat gempa bumi serta kepada rakyat dan Kerajaan Jepun,” menurutnya dalam satu kenyataan pada Isnin malam.

Wisma Putra berkata, rakyat Malaysia di kawasan terjejas dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan mengikuti perkembangan terkini serta nasihat yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo di talian +81-3-3476-3840 atau +8180-3913-3840 (kecemasan) dan e-mel mwtokyo@kln.gov.my atau consular.tyo@kln.gov.my.

Gempa bumi itu dengan magnitud 7.6, mencetuskan amaran tsunami di sepanjang kawasan pantai barat Jepun dengan gelombang tsunami kecil sampai ke pantainya. - Bernama

Artikel Berkaitan: