Vaksin kanak-kanak sampai di Gaza untuk kali pertama sejak 7 Oktober

Vaksin untuk kanak-kanak mula memasuki Semenanjung Gaza melalui lintasan sempadan Rafah buat kali pertama sejak tercetusnya konflik di wilayah itu pada 7 Oktober. - Foto REUTERS
Vaksin untuk kanak-kanak mula memasuki Semenanjung Gaza melalui lintasan sempadan Rafah buat kali pertama sejak tercetusnya konflik di wilayah itu pada 7 Oktober. - Foto REUTERS
A
A
A

RAMALLAH - Vaksin untuk kanak-kanak mula memasuki Semenanjung Gaza melalui lintasan sempadan Rafah buat kali pertama sejak tercetusnya konflik di wilayah itu pada 7 Oktober, umum Kementerian Kesihatan Palestin pada Isnin.

Dalam satu kenyataan, Menteri Kesihatan Palestin, Mai al-Kaila berkata, vaksin itu dibeli oleh kerajaan Palestin, selain sumbangan daripada Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), lapor Agensi Anadolu.

Menurut beliau, Kementerian Kesihatan Mesir sebelum ini telah meluluskan penggunaan unit-unit penyejuk di negara itu untuk menyimpan vaksin sehingga penghantarannya ke Gaza.

"Proses penghantaran ini dilakukan mengikut standard antarabangsa untuk penyimpanan vaksin di bawah pengawasan UNICEF," katanya.

Beliau berkata, penghantaran vaksin itu dibuat di tengah-tengah situasi epidemiologi kritikal yang disebabkan oleh perang Israel ke atas Gaza.

Penghantaran yang memasuki Semenanjung Gaza, termasuk vaksin untuk polio, campak, rubela dan beguk mencukupi untuk tempoh antara 8 hingga 14 bulan. - Bernama-Anadolu

Artikel Berkaitan: