Banjir di Kelantan hampir pulih

Anggota APM bekerjasama membantu membersihkan sebuah sekolah di Rantau Panjang yang dijadikan PPS ketika banjir. - Gambar ihsan APM
Anggota APM bekerjasama membantu membersihkan sebuah sekolah di Rantau Panjang yang dijadikan PPS ketika banjir. - Gambar ihsan APM
A
A
A

KOTA BHARU - Situasi banjir di Kelantan hampir pulih berikutan hanya satu pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di negeri ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Kolonel (PA) Adzhar Mujab berkata, sehingga jam 8 malam, seramai 26 mangsa membabitkan tujuh keluarga masih berlindung di Sekolah Kebangsaan Gual To'Deh, Pasir Mas.

Menurut beliau, dalam tempoh pasca banjir, kesemua anggota dan pegawai APM membantu agensi berkaitan melaksanakan agihan barang keperluan asas dan pembersihan di sekolah.

"Pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan daripada agensi kerajaan dari luar negeri Kelantan melakukan pembersihan di kawasan terlibat banjir.

"Kita akan bantu selaraskan dan tempatkan mereka di lokasi yang sesuai," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Jelas beliau, program gotong-royong pasca banjir juga diadakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tok Deh, SK Gual Periuk, SK Kampung Rahmat dan SKJ (C) Kay Boon.

APM juga bekerjasama dengan pasukan khas pasca banjir Universiti Malaysia Kelantan (UMK) membersihkan sekolah yang dijadikan PPS berikutan sesi persekolahan akan bermula.

Jelas beliau, seramai 90 hingga 100 anggota di setiap daerah akan turun padang untuk melakukan operasi pembersihan bersama.

Artikel Berkaitan:

Adzhar yang juga Sekretariat Pengurusan Bencana negeri Kelantan turut memaklumkan pihaknya akan memberi motivasi dan kaunseling untuk memberi semangat kepada mangsa banjir.

"Dalam tempoh ini mereka juga memerlukan sokongan untuk meneruskan kehidupan selepas bencana yang mengakibatkan kerugian dan kehilangan harta benda," katanya.

Bagaimanapun tambah beliau lagi, rakyat Malaysia menunjukkan keprihatinan mereka dan mengambil cakna untuk sama-sama berkongsi kesedihan dengan mangsa banjir.

APM negeri Kelantan sebelum itu mengagihkan barangan keperluan asas kepada mangsa banjir di Rantau Panjang bersama APM Selangor dan CDA MyFundAction Selangor.