Veteran UMNO dakwa DAP gagal fahami sumbangan TRX

Tangkap layar hantaran Shahrir di Facebook pada Isnin. Shahrir (kiri).
Tangkap layar hantaran Shahrir di Facebook pada Isnin. Shahrir (kiri).
A
A
A

SHAH ALAM - Veteran UMNO mendakwa DAP gagal untuk memahami dan menilai kesan serta sumbangan Tun Razak Exchange (TRX) dalam sistem kewangan negara.

Menurut Tan Sri Shahrir Samad, parti itu sepatutnya menerima hakikat bahawa TRX merupakan aset 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang memberi keuntungan kepada kerajaan.

“Sumbangan daripada satu aset ini sahaja melebihi berganda-ganda sumbangan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan pasukannya termasuk bekas Setiausaha Publisiti, Tony Pua dalam Kementerian Kewangan (MoF) selama 22 bulan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Isnin.

Beliau mengulas satu hantaran di media sosial berkaitan kejayaan TRX yang memberi kredit kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang turut mendapat pujian media Singapura.

Hantaran itu, turut menyentuh kejayaan kerajaan sebagai penyokong utama projek telah menganggarkan nilai pembangunan kasar pada RM40 bilion yang melibatkan kira-kira 26 menara termasuk pejabat dan unit perumahan dangan jumlah pembangunan kasar sehingga 50,000 orang.

Pada 2020, Najib mendakwa Pengerusi DAP itu gagal membawa sebarang pelaburan di TRX sepanjang tempoh pentadbirannya di bawah kerajaan Pakatan Harapan.

Dalam pada itu, Shahrir berkata, bayangan Guan Eng kini masih berada di MoF apabila adiknya, Lim Hui Ying dilantik sebagai Timbalan Menteri Kewangan yang baharu.

“Layak atau tidak, berkebolehan atau tidak ia bukan soalan penting kerana DAP melalui jawatan itu juga mahu menikmati konsep Madani,” ujarnya.

Artikel Berkaitan: