115 tanah dirampas sudah selesai dilucut hak

Laporan Sinar Harian (kiri), Mohd Faizal
Laporan Sinar Harian (kiri), Mohd Faizal
A
A
A

KUALA PILAH - Sebanyak 115 tanah yang dirampas Majlis Daerah Kuala Pilah sepanjang tahun lalu merupakan tanah yang telah selesai dilucut hak.

Pegawai Daerah Kuala Pilah, Mohd Faizal Abdul Manap berkata, ia diwartakan pada tahun 2023 setelah diambil tindakan empat tahun lalu mengikut Kanun Tanah Negara [Akta 828].

Menurutnya, tindakan perampasan merupakan tindakan terakhir yang diambil oleh pihaknya akibat kegagalan membayar cukai tanah.

"Ia dilakukan ke atas hak milik yang mempunyai tunggakan melebihi enam tahun.

"Sebelum tindakan perampasan dilakukan, pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah bagi membantu pemilik atau waris menyelesaikan cukai tanah yang tertunggak," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Ujarnya, salah satu inisiatif yang diambil ialah pengeluaran surat peringatan kepada pemilik tanah atau waris.

Tambahnya, berdasarkan pengeluaran surat peringatan tersebut, pentadbiran mengenal pasti 90 peratus hak milik tertunggak adalah disebabkan oleh pemilik yang telah meninggal dunia, tidak mempunyai waris, tidak mempunyai alamat yang lengkap dan tiada sebarang nombor yang boleh dihubungi.

"Bagi menjejak waris-waris pemilik tanah yang telah meninggal dunia, pentadbiran telah mengambil inisiatif untuk menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan lain-lain agensi yang berkaitan.

Artikel Berkaitan:

"Pemilik tanah atau waris yang terlibat tidak perlu bimbang kerana kita ada pelbagai kaedah untuk memudah cara urusan bayaran cukai bertunggak," katanya.

Mohd Faizal berkata, ia seperti bayaran secara ansuran dan pemilik atau waris boleh membuat permohonan semula tanah yang telah dirampas dengan kadar rendah dan berpatutan.

Jelasnya, pemilik atau waris boleh terus ke Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah jika mempunyai sebarang masalah atau persoalan berkaitan.