Terus bersatu padu lakar kejayaan bermakna di tahun baharu - Ahmad Zahid

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Foto Bernama
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap rakyat Malaysia akan terus bersatu padu dalam melakar kejayaan yang lebih bermakna buat negara di tahun baharu.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah ingin melihat Malaysia yang aman, maju dan sejahtera pada tahun 2024.

"Tahun 2024 bakal membuka sebuah lagi episod baharu berisikan hasrat sebuah kemakmuran dan kehidupan yang lebih bermakna. Saya berazam untuk terus komited memikul tanggungjawab yang diamanahkan,” katanya menerusi video yang dimuat naik ke akaun Facebook beliau pada Ahad.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dalam amanat sempena tahun baharu 2024 menyeru rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama, fahaman politik dan ideologi untuk meletakan iltizam ke arah mengukuhkan lagi perpaduan.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam,perpaduan menjadi kunci utama kepada keharmonian kaum, kesejahteraan rakyat dan negara serta kemakmuran negara.

"Sesungguhnya asas kekuatan sesebuah negara adalah perpaduan pelbagai lapisan masyarakatnya dalam aspek politik, ekonomi dan sosial.

"Ini penting supaya tidak ada lagi yang bermain politik, sebaliknya semua fokus ke arah pemulihan ekonomi, membangunkan negara dan memastikan kesejahteraan rakyat apa lagi dalam kita mendepani ketidaktentuan ekonomi global dan ketegangan geopolitik dunia yang semakin mencabar,” katanya menerusi catatan di Facebook pada Ahad.

Beliau berkata, negara telah melalui 2023 dengan keadaan politik yang lebih stabil dan urus tadbir pentadbiran lebih lancar di bawah Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas bergelut dengan ketidaktentuan politik pasca Pilihan Raya Umum ke-14 yang menyaksikan negara dipimpin oleh tiga Perdana Menteri dalam tempoh kurang empat tahun.

Artikel Berkaitan:

"Semua ini adalah berkat kerjasama dan sokongan semua. Terima kasih rakyat Malaysia,” katanya. - Bernama