City 'tayang' lima trofi

Lima trofi yang dimenangi City dipamerkan di Etihad sebelum sepak mula menentang Sheffield lewat malam Sabtu. Foto: AFP.
Lima trofi yang dimenangi City dipamerkan di Etihad sebelum sepak mula menentang Sheffield lewat malam Sabtu. Foto: AFP.
A
A
A

PEP Guardiola meluahkan rasa bangga dengan prestasi Manchester City sehingga mampu merangkul lima trofi bagi musim 2023 sebagai satu kejayaan yang sukar digambarkan.

Kesemua lima trofi itu diperagakan di Etihad sebelum sepak mula city menentang Sheffield United dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) tengah malam Sabtu.

The Citizens meraih treble menerusi kejayaan mendakap trofi EPL, Liga Juara-Juara dan Piala FA musim lalu.

Malah City turut merangkul Piala Super UEFA dan Piala Dunia Kelab buat kali pertama dalam sejarah kelab, Guardiola juga menyatakan bahawa 2023 tahun yang perlu diingati sampai bila-bila.

“Kami saksikan lima trofi hari ini (Sabtu). Ia sangat bagus. Kami amat berpuas hati, terlalu bangga.

“Kini ia berada dalam kabinet. Bertemu Hudersfield (Piala FA) pula selepas ini,” ujar bekas bos Barcelona dan Bayern Munich itu.

Dalam aksi itu, City menang 2-0 ke atas Sheffield sekali gus merapatkan jurang dua mata dengan pasukan tangga teratas EPL, Liverpool.

Secara keseluruhan Guardiola berpuas hati prestasi City apabila menepati sasaran bagi saingan babak pertama musim ini biarpun gagal berada di puncak seperti kebiasaan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun sebelum berlepas ke Arab Saudi untuk Piala Dunia Kelab awal bulan ini, City hanya memenangi satu daripada enam aksi EPL sebelum ini.

“Saya merasakan kami boleh memperoleh lebih banyak mata dengan cara kami bermain.

“Kedudukan ketika ini lebih daripada baik. Kami kalah dalam perlawanan, mereka juga akan kalah dalam permainan. Kami cuba untuk tidak kalah,” ujar Guardiola.