'Elak keluar pandangan peribadi sentuh isu sensitif'

Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad
Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad
A
A
A

SHAH ALAM - Pemimpin DAP perlu mengelak mengeluarkan pandangan peribadi menyentuh sebarang isu sensitif khususnya berkait agama Islam demi keharmonian masyarakat.

Ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, ia boleh menyebabkan pertelingkahan dalam kalangan masyarakat serta kesan buruk kepada negara.

"Kenyataan yang datang daripada ahli parti secara individu, boleh menimbulkan salah faham dan dia (pemimpin terbabit) perlu lebih bertanggungjawab kerana itu yang patut kita jaga, keharmoniannya.

"Mana-mana pendirian terutama isu agama adalah amat sensitif, sebelum menyentuh, perlu dapat satu persetujuan (pimpinan), (sebagai) pendirian parti, lebih lagi (kenyataan itu) dari seorang pemimpin agak kanan," katanya.

Raja Kamarul Bahrin berkata demikian ketika ditemui selepas sidang media sempena Perhimpunan Sejuta Rakyat Untuk Palestin di U8 Bukit Jelutong di sini pada Sabtu.

Terdahulu, Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngee Koo Ham dilaporkan mencadangkan supaya kerajaan melantik pakar daripada bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompentensi Dewan Undangan Negeri (DUN) menggubal undang-undang Islam.

Berikutan itu, DAP pada Jumaat menegaskan cadangan Koo Ham mengenai pelantikan pakar perundangan bukan Islam untuk menganggotai jawatankuasa itu adalah satu kekhilafan mengenai punca kuasa penubuhan jawatankuasa itu.

Setiausaha Agungnya, Anthony Loke dilaporkan berkata, jawatankuasa itu ditubuhkan oleh Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam (MKI) yang dipengerusikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan bertujuan menasihati majlis itu dengan cadangan memperkasakan bidang tugas mahkamah syariah.

Artikel Berkaitan:

Beliau amat sedar bahawa kenyataan Koo Ham akan menimbulkan polemik kononnya DAP cuba mencampuri urusan agama Islam namun ia tidak benar sama sekali dan DAP menghormati kebijaksanaan Sultan Selangor dalam membuat sebarang keputusan mengenai urusan MKI.

Dalam pada itu, Raja Kamarul Bahrin berkata, beliau menyokong penegasan dibuat oleh Anthony Loke dan menyifatkan kenyataan Koo Nam adalah pandangan peribadinya sahaja.

"Itu hanya pandangannya (Koo Nam) tapi bukan pendirian parti mana-mana. Saya rasa dalam Pakatan Harapan tiada masalah, kesefahaman itu ada, memang perlu berunding dari semasa ke semasa

"Dalam mana-mana parti pun semua ada pendapat yang sama dan ada juga yang berbeza," katanya.