Ismail Sabri tak terlibat Langkah Dubai

Affifi (kanan) berkongsi gambar pertemuan Ismail Sabri (tengah) dan Ahmad Zahid di Madinah.
Affifi (kanan) berkongsi gambar pertemuan Ismail Sabri (tengah) dan Ahmad Zahid di Madinah.
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selamat menunaikan ibadah umrah dan terus menaiki penerbangan pulang ke Kuala Lumpur tanpa singgah di Dubai.

Pegawai Khasnya, Affifi Aris berkata, ia sekali gus menangkis dakwaan sesetengah pihak bahawa bekas Perdana Menteri itu terlibat dalam Langkah Dubai bagi menukar kerajaan.

“Alhamdulillah, perjalanan ibadah umrah yang sangat mendamaikan. Pertamanya ingin saya maklumkan, kesihatan Perdana Menteri ke-9 dan keluarga sihat sepanjang mengerjakan ibadah umrah.

“Keduanya, diri saya menjadi saksi kami semua tinggalkan seketika perihal politik negara dengan tumpuan mencari keredhaan Ilahi dengan menunaikan ibadah wajib dan sunat untuk meraih pahala berganda,” katanya dalam perkongsian di Facebook pada Ahad.

Tambah Affifi, Masjidil Nabawi di Madinah juga menjadi saksi dua sahabat akrab dipertemukan apabila Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ismail Sabri berjemaah dalam saf yang sama, dijarakkan dengan enam jemaah sahaja.

Malah katanya, usai solat Zohor, Ismail Sabri terus bangun ke arah Presiden UMNO itu untuk bersalaman dan bertanya khabar.

Ismail Sabri memeluk Ahmad Zahid ketika bertemu di Masjid Nabawi, Madinah.
Ismail Sabri memeluk Ahmad Zahid ketika bertemu di Masjid Nabawi, Madinah.

“Saya kira janganlah libatkan cerita karut mengenai bos saya dengan pelbagai teori dongeng. Sepanjang beliau tidak menjadi Perdana Menteri, saya lihat aktiviti Datuk Seri sendiri sudah sibuk dengan pelbagai program termasuk riadah di hujung minggu.

Artikel Berkaitan:

“Kepada yang berada di kerajaan, jalankan tanggungjawab dengan keyakinan bahawa mandat kerajaan kukuh. Apa yang kalian janji, cuba laksanakan agar Kerajaan Perpaduan ini boleh diterima rakyat,” jelasnya.

Affifi turut menitipkan nasihat kepada yang masih berhasrat untuk menumbangkan kerajaan sedia ada.

“Kepada mereka yang bercita-cita mahu kembali ke Putrajaya, rezeki dalam politik tidak pernah salah alamat tetapi jangan memijak dan membunuh saudara kita demi cita-cita politik kalian.

“Atur dengan tertib, bukan asyik bercerita esok tumbang. Kalian pembangkang, kerajaan dengan pelbagai agensi ini mestilah ada strategi juga. Jadinya tempur besar kita pada PRU 16 (Pilihan Raya Umum Ke-16),” katanya.