Pasaran getah ditutup tinggi

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PASARAN getah Malaysia ditutup tinggi pada hari dagangan terakhir pada 2023 sejajar dengan pasaran niaga hadapan getah serantau, disokong oleh jangkaan bahawa Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) akan mula mengurangkan kadar faedah pada tahun depan, kata peniaga.

Beliau berkata, pasaran turut disokong oleh keyakinan mengenai lebih banyak langkah-langkah rangsangan daripada China dan harga penanda aras minyak mentah yang pulih.

"Bagaimanapun, kenaikan seterusnya dihadkan oleh ringgit yang lebih kukuh berbanding dolar AS dan kebimbangan yang berterusan mengenai ketegangan di Timur Tengah.

"Pengendali pasaran turut kekal berhati-hati menjelang data pembuatan China,” katanya.

Peniaga berkata, niaga hadapan getah Jepun meneruskan aliran meningkatnya untuk sesi keenam dan mencecah paras tertinggi dalam tempoh satu bulan pada Jumaat, hari dagangan terakhir pada tahun ini, didorong oleh keyakinan pasaran mengenai langkah-langkah rangsangan yang berpotensi daripada kerajaan China.

Dalam pada itu, katanya, harga minyak mentah stabil dan meningkat pada Jumaat selepas merosot tiga peratus pada hari sebelumnya apabila lebih banyak syarikat perkapalan bersedia untuk transit di laluan Laut Merah.

"Bagaimanapun, harga minyak dijangka susut 10 peratus dalam mengakhiri 2023, penurunan tahunan pertama dalam tempoh dua tahun, selepas kebimbangan mengenai geopolitik, pengurangan pengeluaran dan langkah-langkah global untuk mengawal inflasi yang menyebabkan turun naik harga,” katanya.

Peniaga berkata, dilaporkan bahawa People’s Bank of China (PBOC) akan memastikan mudah tunai mencukupi, menerajui pertumbuhan kredit yang munasabah dan meningkatkan pelarasan dasar makroekonomi untuk menyokong ekonomi dan menggalakkan harga pulih dalam persekitaran tanda-tanda tekanan deflasi meningkat.

Artikel Berkaitan:

Berbanding sesi penutup dagangan sebelum ini, harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) meningkat 10 sen kepada 700.5 sen sekilogram manakala susu getah pukal naik 2.5 sen kepada 540.0 sen sekilogram.

Pada 5 petang, harga rujukan untuk SMR 20 fizikal sebanyak 703.5 sen sekilogram manakala susu getah pukal sebanyak 542.5 sen sekilogram.

Pasaran getah Kuala Lumpur akan ditutup untuk cuti umum Tahun Baharu pada Isnin, 1 Januari 2024 dan beroperasi semula pada Selasa, 2 Januari 2024. - Bernama