Mangsa banjir resah belum buat persiapan sekolah anak-anak

Mangsa banjir mengakui masih belum membuat persiapan persekolahan anak-anak mereka meskipun sesi akademik 2023/2024 penggal ketiga akan bermula 2 Januari ini. - Gambar Fail
Mangsa banjir mengakui masih belum membuat persiapan persekolahan anak-anak mereka meskipun sesi akademik 2023/2024 penggal ketiga akan bermula 2 Januari ini. - Gambar Fail
A
A
A

PASIR MAS - Empat hari lagi sesi persekolahan akan bermula, namun bagi ketua-ketua keluarga yang menghuni pusat pemindahan sementara (PPS) sekitar sini akibat banjir, kebanyakan hanya menggelengkan kepala apabila ditanya mengenai persiapannya.

Mohd Shamsul Wahid, 38, berkata, kediamannya di Kampung Serongga, di sini, dinaiki air banjir lebih dua meter sejak Isnin lepas.

"Ini kejadian banjir kali ketiga dialami sejak November lepas, habis semua barangan rosak. Untuk sesi persekolahan bagi tahun 2024 saya belum beli apa-apa lagi, kalau ada pakaian atau peralatan persekolahan lama anak-anak boleh guna semula tetapi rasanya semua dah rosak akibat banjir," katanya pada Jumaat.

Menurutnya, dia mempunyai dua orang anak perempuan masing-masing akan memulakan sesi persekolahan tingkatan satu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Kiambang dan tahun satu di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Kiambang.

Lebih merumitkan dia yang bekerja sebagai buruh binaan hilang pendapatan dalam tempoh musim tengkujuh ini.

"Harapan saya apabila sesi persekolahan dibuka minggu depan pihak bertanggungjawab dapat beri kelonggaran berkenaan pakaian murid sekolah," katanya yang kini menghuni di PPS SK Sri Kiambang di Kampung Repek.

Berdasarkan kalendar Kementerian Pendidikan, sesi akademik 2023/2024 penggal ketiga akan bermula 2 Januari ini.

Bagi pesara tentera Rezak Hamat, 63, dari Kampung Seberang Merbau, dia bimbang dengan proses ulang kaji anak lelakinya Mohd Razim, 17, pelajar SMK Sri Kiambang yang sedang menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023.

Artikel Berkaitan:

"Banjir mengakibatkan buku-buku rujukan rosak, anak kini cuma bergantung harap dengan ulang kaji menggunakan telefon pintar, malah dia ambil keputusan untuk tinggal di rumah sepupu untuk memudahkan dia belajar berbanding berada di sini,” katanya yang berlindung sejak empat hari lalu di SK Sri Kiambang.

Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 bermula pada 5 Disember lalu hingga 7 Mac 2024. - Bernama