Konvensyen Pas Sabah tumpu agenda kebajikan rakyat

Aliakbar
Aliakbar
A
A
A

KOTA KINABALU - Pas Sabah akan menumpukan kebajikan rakyat Sabah sebagai agenda utama dalam Konvensyen Pas Sabah yang akan berlangsung di Kota Kinabalu pada Sabtu ini.

Berlangsung selama dua hari, konvensyen itu turut bakal menghimpunkan kira-kira 500 pimpinan parti dari semua kawasan di negeri ini.

Pesuruhjaya Pas Sabah, Dr Aliakbar Gulasan berkata, pembentangan itu berkaitan gerak kerja memasyarakatkan Pas di Sabah dengan menggunakan pendekatan yang adil, prihatin dan berkebajikan.

"Pas sebagai sebuah parti siasah (politik), tarbiah dan dakwah sentiasa mengutamakan agenda kebajikan dan kesejahteraan rakyat merentasi sempadan kaum, agama dan bangsa," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Aliakbar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik berkata, pendekatan yang dibawa Pas bukan bermusim pada waktu pilihan raya saja.

"Sebaliknya Pas akan terus membawa pendekatan adil, prihatin dan berkebajikan pada setiap masa tanpa menunggu musim pilihan raya," tegasnya.

Konvensyen itu dijangka membawa tetamu istimewa iaitu Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) Pas Pusat, Khairil Nizam Khirudin dan Penolong Setiausaha Agung Pas, Khairul Faizi Ahmad Kamil.

Artikel Berkaitan: