Hadkan maksimum 20,000 tan metrik kuota belian padi - PPBMM

Mohamad Termizi (duduk, tengah) bersama sebahagian Ahli Jawatankuasa PPBMM selepas Mesyuarat Agung PPBMM Kali ke-46 Tahun 2023 di sebuah hotel, di Alor Setar pada Khamis.
Mohamad Termizi (duduk, tengah) bersama sebahagian Ahli Jawatankuasa PPBMM selepas Mesyuarat Agung PPBMM Kali ke-46 Tahun 2023 di sebuah hotel, di Alor Setar pada Khamis.
A
A
A

ALOR SETAR - Persatuan Pengilang Beras Melayu Malaysia (PPBMM) memohon kerajaan memperuntukkan kuota belian padi kepada had maksimum sebanyak 20,000 tan metrik pada setiap musim kepada setiap kilang di Malaysia.

Pengerusi PPBMM, Mohamad Termizi Yop berkata, peruntukan kuota belian padi berkenaan adalah bagi membolehkan setiap kilang mendapat peluang sama rata.

Beliau berkata, pelaksanaan kaedah terbabit akan dapat membantu kilang khususnya milik bumiputera.

"Sekarang ini tiada kuota ditetapkan, ada pengilang yang terima belian padi melebihi kuota tersebut (dengan) ada yang dapat 40,000; 60,000 dan 70,000 tan metrik.

"Apabila pengilang gergasi itu gagal mendapat belian padi yang mencukupi, mereka mengupah broker untuk cari padi di tempat lain mengakibatkan pindahan belian padi.

"Sedangkan di kawasan tersebut ada juga kilang padi kecil yang perlu juga berniaga.

"Jadi, jika kita had 20,000 tan metrik semua kilang akan dapat sama rata, jadi kurang tawar menawar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Agung PPBMM Kali ke-46 Tahun 2023 di sebuah hotel di sini pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Mohamad Termizi menambah, pihaknya mendapati banyak pengilang beras kecil terutamanya dalam kalangan bumiputera gulung tikar apabila gagal memperoleh belian padi untuk menampung kos operasi mereka.

Beliau melahirkan kebimbangan, situasi terbabit menyebabkan berlakunya monopoli dalam kalangan pengilang besar gergasi sehingga mengakibatkan pengilang beras bumiputera semakin pupus.

Menurut Termizi lagi, keadaan ini didakwa telah lama berlaku iaitu kira-kira sejak lima tahun lepas.

"Sebelum ini, ada lebih 300 pengilang beras bumiputera di seluruh Malaysia namun kini hanya tinggal 60 pengilang sahaja.

"Di Kedah pula, daripada 35 pengilang bumiputera sekarang cuma tujuh sahaja yang masih aktif.

“Kalau wujud kilang gergasi yang mendapat 60,000 tan itu dan mereka rakus semua sehingga berlaku pindahan padi itu menyebabkan kilang kecil ini akan gulung tikar.

"Kita minta kerajaan beri perhatian kepada kuota ini,” katanya.

Beliau memaklumkan, PPBMM yakin penetapan kuota belian padi dapat membantu mengatasi pelbagai isu berkaitan bekalan beras negara seperti penyelewengan dan penipuan sehingga berlaku kekurangan beras sebelum ini.

Selain itu, kata beliau, PPBMM juga meminta supaya pindahan padi antara negeri ke negeri dikaji semula dan perlu mendapat pandangan setiap kilang di dalam negeri tersebut terlebih dahulu.

Termizi menyatakan, perkara ini juga perlu diberi perhatian bagi mengelak berlakunya tawaran harga daripada orang tengah yang tidak munasabah dan mengaut keuntungan.

"Seperti sedia maklum, hasil pengeluaran padi dalam negara kini tidak mencapai target sebenar iaitu sekitar 62 peratus sahaja dan tiada peningkatan hasil tuaian sehingga kini, sekali gus pindahan padi antara negeri ke negeri perlulah dikaji semula kerana ia adalah tidak relevan," katanya.

Beliau berkata, antara isu lain perlu diberi perhatian termasuklah memastikan beras 'stok pile' negara adalah beras tempatan sahaja dan kerajaan perlu menyediakan gudang-gudang di setiap negeri.

Katanya, tindakan perlu diambil bagi memastikan agar tidak berlakunya isu monopoli beras oleh syarikat 'gergasi' yang pada bila -bila masa sahaja akan mengambil kesempatan di dalam isu semasa.

“Pihak persatuan sudah lama melaungkan agar perkara-perkara yang dinyatakan di atas diberi perhatian, namun begitu pendapat kami hanya dibiarkan ibarat 'bagaikan melukut ditepi gantang',” katanya.