Mahkamah Agung Michigan kekalkan Trump pada undian utama 2024

Donald Trump. - AFP
Donald Trump. - AFP
A
A
A

CHICAGO - Mahkamah Agung Michigan, Amerika Syarikat (AS) pada Rabu menolak rayuan untuk mengeluarkan bekas presiden Donald Trump daripada pengundian negeri untuk pilihan raya 2024 berdasarkan klausa perundangan 14th Amendment, lapor Xinhua.

Mahkamah Tinggi Michigan dalam penghakiman ringkas berkata hakim-hakim "tidak diyakinkan bahawa persoalan yang dikemukakan harus disemak oleh mahkamah itu".

Keputusan itu berbeza dengan penghakiman dibuat oleh Mahkamah Agung Colorado pada 19 Dis untuk mengeluarkan nama Trump daripada kertas undi pilihan raya.

Mahkamah rendah di Michigan pada awalnya menolak kes itu. Mahkamah rayuan mengekalkan keputusan itu dan mahkamah tinggi mengekalkan keputusan kedua-dua mahkamah rendah.

Trump yang menyambut baik keputusan mahkamah berkata: "Mahkamah Agung Michigan dengan tegas dan dengan betul menolak usaha Parti Demokrat yang terdesak untuk mengeluarkan calon utama pilihan raya presiden 2024, iaitu saya, daripada kertas undi di negeri Michigan."

Mark Brewer, yang mewakili empat plaintif dalam kes itu dan bekas pengerusi Parti Demokrat Michigan berkata anak guamnya akan menyemak semula isu berkenaan jika Trump perlu memenangi pencalonan Republikan.

Pusingan pemilihan awal presiden Michigan akan berlangsung pada 27 Feb.

Kumpulan pemantau liberal memfailkan kes itu bagi pihak pengundi Michigan yang mahu Trump dikeluarkan daripada pemilihan kerana usahanya untuk membatalkan keputusan pilihan raya 2020 dan penglibatannya dalam rusuhan di Capitol pada 6 Januari 2021.

Artikel Berkaitan:

Cabaran yang sama telah difailkan di beberapa negeri AS dengan kebanyakannya telah ditolak.

Seksyen 3, 14th Amendment melarang sesiapa sahaja yang pernah mengangkat sumpah jawatan daripada memegang jawatan awam jika mereka terlibat dalam pemberontakan terhadap AS.

Sementara itu di Washington, Sputnik melaporkan bahawa Parti Republikan Colorado memfailkan rayuan di Mahkamah Agung AS mencabar keputusan Mahkamah Agung Colorado untuk membatalkan kelayakan Trump daripada bertanding dalam pengundian negeri pada pilihan raya akan datang, menurut rekod mahkamah.

Mahkamah Agung Colorado baru-baru ini memutuskan bahawa Trump tidak boleh bertanding pada undian utama Republikan 2024 kerana tindakannya dalam serangan ke atas Capitol pada 6 Jan dengan merujuk kepada 14th Amendment. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!