Lelaki warga Singapura hilang dipukul ombak ditemukan lemas

Anggota bomba membawa mayat mangsa yang lemas pada Khamis. - Foto BBP Penawar
Anggota bomba membawa mayat mangsa yang lemas pada Khamis. - Foto BBP Penawar
A
A
A

KOTA TINGGI - Seorang lelaki warga Singapura yang hilang selepas hanyut dipukul ombak di Pantai The Westin Desaru Coast, di sini pada Rabu, ditemukan lemas awal pagi tadi.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penawar, Penolong Kanan Penguasa Bomba Masri Ibrahim berkata, mayat mangsa yang berusia 49 tahun itu ditemukan oleh orang awam di pesisir pantai pada 5.30 pagi.

"Mangsa yang berseluar pendek warna hitam ditemukan orang awam lebih kurang lima kilometer dari lokasi dilaporkan hilang. Isterinya turut mengesahkan mayat suaminya itu,” katanya kepada Bernama di sini pada Khamis.

Beliau berkata, mayat dihantar ke Hospital Kota Tinggi untuk tindakan lanjut.

Semalam, Masri dilaporkan berkata, mangsa bersama anak lelakinya yang berusia 16 tahun dipukul ombak ketika beriadah di gigi air sebelum dihanyutkan dalam kejadian kira-kira 12.33 tengah hari.

Bagaimanapun remaja terbabit berjaya diselamatkan oleh orang awam dan dihantar ke Hospital Kota Tinggi.

Masri berkata, lokasi kejadian itu sebelum ini telah pun dikibarkan bendera merah sebagai amaran kepada pengunjung supaya tidak melakukan aktiviti di pantai berikutan faktor cuaca. - Bernama

Artikel Berkaitan: