Operasi cari mangsa hanyut dipukul ombak diteruskan

Operasi mencari mangsa diteruskan lewat petang Rabu. - Foto: BBP Kota Tinggi
Operasi mencari mangsa diteruskan lewat petang Rabu. - Foto: BBP Kota Tinggi
A
A
A

KOTA TINGGI - Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi masih meneruskan operasi bagi mencari seorang lelaki dewasa yang dipercayai hilang setelah dipukul ombak ketika beriadah di gigi air di Pantai The Westin Desaru Coast, Desaru dekat sini pada Rabu.

Komander Operasi Pegawai Kanan Penguasa Bomba, Masri Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu sekitar 12.33 tengah hari.

Menurutnya, sebaik menerima laporan terbabit pasukan menyelamat telah dihantar ke lokasi kejadian membabitkan dua jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS), satu Navara dan satu bot serta seramai tujuh anggota bomba dari BBP Penawar, tujuh pasukan keluaran operasi (PKO) dari BBP Sungai Rengit dan tiga anggota pasukan penyelamat di air (PPDA) dari BBP Mersing

“Setibanya PKO ke lokasi, menurut maklumat daripada orang awam seorang lelaki dipercayai lemas...mangsa dikatakan dipukul ombak ketika sedang beriadah di gigi air sebelum dihanyutkan arus.

“Mangsa merupakan seorang lelaki dewasa berusia 49 tahun telah hilang dan masih belum dijumpai, sementara itu seorang lagi remaja lelaki berusia 15 tahun yang juga anak mangsa berjaya diselamatkan orang awam sebelum PKO tiba ke lokasi.

“PKO kemudiannya bertindak membuat pencarian dengan menggunakan teknik ‘surface searching’ bagi mengesan mangsa yang masih hilang,” katanya.

Kedua-dua mangsa merupakan warga Singapura dan operasi pencarian difahamkan masih berterusan.

Artikel Berkaitan: