Satu perlawanan tak cukup...

Kim Pan Gon (kiri) memantau skuad Harimau Malaya menjalani sesi latihan bagi persediaan menjelang Kejohanan Bola Sepak Piala Asia Qatar 2024 di Wisma FAM pada Selasa. - Foto Bernama
Kim Pan Gon (kiri) memantau skuad Harimau Malaya menjalani sesi latihan bagi persediaan menjelang Kejohanan Bola Sepak Piala Asia Qatar 2024 di Wisma FAM pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

PERSIAPAN Harimau Malaya mungkin sedikit terjejas apabila hanya akan menguji taring dengan pasukan Syria dalam aksi persahabatan sebelum bermulanya Piala Asia di Doha, Qatar pada 12 Januari depan.

Pengendali skuad negara, Kim Pan-gon mengakui kecewa dengan situasi tersebut, namun akan cuba mencari cara bagi memastikan persiapan skuad negara tidak terganggu.

“Sudah tentu (satu perlawanan) tak cukup. Ia sesuatu yang tidak disengajakan namun saya kecewa...bagaimanapun kami perlu mengatasi masalah ini.

“Kami kini sedang mencari lawan lain (sebelum bermula Piala Asia)," katanya ketika hari pertama kem latihan pusat di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya.

Sebelum ini, FAM mengesahkan perlawanan persahabatan menentang Arab Saudi terpaksa dibatalkan atas permintaan pengendali, Roberto Mancini.

Bekas pengendali Manchester City itu memberikan alasan terdapat kemungkinan pasukannya akan berdepan Malaysia di pusingan 16 terakhir Piala Asia sebagai punca pembatalan perlawanan itu.

Setakat ini, Harimau Malaya hanya akan bertemu Syria yang berada di ranking ke-91 dunia dalam aksi persahabatan pada 8 Januari.

Dalam pada itu, Pan-gon berterima kasih kepada FAM selepas badan induk bola sepak negara membenarkan skuad Harimau Malaya terbang lebih awal ke Doha untuk melakukan persiapan.

Artikel Berkaitan:

“Kami sangat teruja dan menantikan kejohanan ini sejak sekian lama. Saya sebagai jurulatih juga mahu berada di pusingan akhir Piala Asia ini.

“Persiapan ini penting kerana kita akan berdepan pasukan yang kuat bukan pasukan lemah. Saya mengucapkan terima kasih kepada FAM kerana menghantar kami awal ke doha.

“Kami akan mempunyai masa yang cukup untuk sesuaikan diri di sana. Kami harap dapat gunakan kelebihan ini untuk membuat persiapan terbaik," katanya.

Skuad negara akan terbang ke Doha pada 1 Januari ini.

Dalam aksi Piala Asia, Malaysia yang berada dalam Kumpulan E akan bertemu Jordan di Stadium Al Janoub pada 15 Januari sebelum menentang Bahrain di Stadium Jassim Bin Hamad pada 20 Januari.

Kemudian, mereka akan berdepan Korea Selatan di Stadium Al Janoub lima hari kemudian dalam aksi terakhir kumpulan.