Petaling catat jumlah pengunjung tertinggi di Selangor

Petaling mencatatkan jumlah pengunjung tertinggi di Selangor dengan 2.8 juta kehadiran. - Gambar hiasan
Petaling mencatatkan jumlah pengunjung tertinggi di Selangor dengan 2.8 juta kehadiran. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Selangor mencatat sejumlah 4.8 juta kedatangan pelancong tempatan dan asing antara Januari hingga September lalu.

Pengurus komunikasi korporat Tourism Selangor, Ahmad Nazri Tashriq Rahmat berkata, angka tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 22.3 peratus berbanding tahun lalu.

Menurutnya, daripada jumlah itu, Petaling mencatatkan jumlah pengunjung tertinggi di Selangor dengan 2.8 juta kehadiran.

"Daerah lain seperti Hulu Selangor juga menerima peningkatan pelancong sebanyak 244.9 peratus atau 58,353 orang dan Kuala Selangor sekitar 181 peratus atau 48,660.

"Kedua-dua daerah ini antara yang mula menerima kunjungan pelancong tinggi bagi tahun ini dan dijangka terus meningkat sempena musim cuti sekolah,” katanya.

Ujar beliau, pelancong domestik dari Kuala Lumpur, Johor, Perak dan Pahang menyumbang 38 peratus kedatangan di Selangor.

"Sementara pasaran pelancong dari China, Singapura, Indonesia, Jepun dan India adalah penyumbang tertinggi bagi kedatangan pelancong antarabangsa sebanyak 46 peratus," katanya.

Beliau berkata, trend pelancongan di Selangor susulan tarikan gastronomi, pelancongan eko, aktiviti sukan lasak dan taman-taman tema telah menjadi antara tarikan pelancongan utama.

Artikel Berkaitan:

Selain itu katanya, kebanyakan pusat pelancongan di Selangor menyediakan fasiliti yang lengkap.

"Ia termasuk kemudahan pengangkutan awam seperti MRT (Transit Aliran Massa), LRT (Transit Aliran Ringan), KTM (Keretapi Tanah Melayu) dan bas Smart Selangor yang terdapat di negeri ini.

" Antara kawasan pelancongan yang menjadi pilihan termasuk SplashMania, Gamuda Cove, Pekan Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor, Sungai Panjang dan Sekinchan, Sabak Bernam, Bukit Malawati, Kuala Selangor," katanya.

Sebelum ini, Exco Pelancongan Datuk Ng Suee Lim memaklumkan Selangor merekodkan 2.9 juta pelawat dalam tempoh suku kedua tahun ini dengan hasil perbelanjaan RM21.9 bilion.

Beliau berkata, Selangor juga merupakan negeri dengan pelawat domestik tertinggi pada tahun lalu dengan 22 juta pelawat melawat ke negeri ini.