Dakwaan ketua polis balai hantar mesej lucah tidak benar, berniat jahat

Aidi Sham
Aidi Sham
A
A
A

PORT DICKSON - Dakwaan mengatakan seorang ketua polis balai di daerah ini mengganggu dan menghantar mesej berunsur lucah kepada seorang wanita adalah tidak benar dan berniat jahat.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, setakat ini pihaknya masih belum menerima sebarang laporan daripada individu terlibat atau daripada pihak yang menjadi mangsa seperti mana dinyatakan dalam satu kumpulan Telegram.

"Pada 25 Disember lalu kira-kira jam 1.15 tengah hari telah keluar satu kenyataan di kumpulan aplikasi Telegram berkenaan seorang individu iaitu Ketua Polis Balai Lukut telah mengganggu dan menghantar mesej berunsur lucah kepada seorang wanita.

"Siasatan awal mendapati, kenyataan yang dikeluarkan itu tidak benar dan disyaki satu tohmahan berniat jahat demi menjatuhkan kredibiliti Ketua Polis Balai Lukut serta imej pasukan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Bagaimanapun beliau berkata, siasatan lanjut akan diteruskan dari sudut tata tertib dan tindakan tegas akan diambil jika didapati berlaku perlanggaran disiplin.

"Pihak polis menasihati orang awam supaya tidak tularkan isu itu yang mana boleh diambil tindakan di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi Multimedia," katanya.

Artikel Berkaitan: