Pemandu lori tidak mengaku simpan 24,000 diesel tanpa lesen

Tertuduh dibawa keluar dari kamar Mahkamah Sesyen Sungai Petani pada Rabu.
Tertuduh dibawa keluar dari kamar Mahkamah Sesyen Sungai Petani pada Rabu.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini pada Rabu atas pertuduhan menyimpan lebih 24,000 liter diesel tanpa lesen tahun lalu.

G Chandrakumar, 46, membuat pengakuan itu sebaik sahaja pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azman Abu Hassan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa ada dalam kawalannya barang kawalan berjadual iaitu bahan api diesel sebanyak 24,676 liter.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Pinang Emas 1, Kawasan Perusahaan Pinang Emas di sini kira-kira 1.13 petang, 4 Oktober 2022 dalam keadaan yang menimbulkan syak munasabah.

Tertuduh (kanan) dibenar ikat jamin sebanyak RM20,000.
Tertuduh (kanan) dibenar ikat jamin sebanyak RM20,000.

Disebabkan itu, tertuduh melanggar Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan dengan barang kawalan secara borong tanpa lesen.

Pertuduhan dikemukakan bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (1) Akta yang sama.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Artikel Berkaitan:

Timbalan Pendakwa Raya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Roslina Idris mencadangkan agar tertuduh dikenakan jaminan sebanyak RM50,000.

Peguam tertuduh, T Sharmela kemudian memohon mahkamah mengenakan jaminan lebih rendah iaitu sebanyak RM20,000 berikutan tertuduh menanggung ibunya yang sakit jantung dan sakit tua.

Azman kemudian membenarkan Chandrakumar diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin selain perlu melapor di balai polis terdekat setiap bulan bermula 1 Februari depan.

Hakim menetapkan 5 Februari depan sebagai tarikh serahan dokumen.