Amaran ribut petir, hujan berterusan di Johor

Angkatan Pertahanan Awam (APM) Mersing melakukan pemantauan banjir. - Foto FB APM Johor
Angkatan Pertahanan Awam (APM) Mersing melakukan pemantauan banjir. - Foto FB APM Johor
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Amaran ribut petir dijangka melanda Tangkak, Muar, Batu Pahat, Kulai, Pontian, Kluang dan Johor Bahru sehingga jam 9 pagi, Rabu.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berkata, amaran hujan berterusan dikeluarkan bagi daerah Segamat, Mersing dan Kota Tinggi sehingga jam 2 petang Rabu.

Sementara itu, paras air sungai di tiga daerah menunjukkan trend peningkatan susulan hujan lebat yang melanda.

Setakat jam 8 pagi pada Rabu, satu sungai direkodkan melepasi paras bahaya, manakala dua lagi mencatatkan bacaan paras amaran dan waspada.

Berdasarkan sumber Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menerusi laporan terkini keadaan banjir di Johor, Sungai Sayong di Kulai melepasi paras bahaya dengan bacaan 18.15 meter.

Selain itu, Sungai Lenik di Segamat pada tahap amaran (5.62 m) dan Sungai Sedili Kecil di Kota Tinggi pada tahap waspada (1.93m).

Dalam pada itu, Mersing menjadi daerah pertama di Johor yang dilanda banjir susulan hujan berterusan sejak awal pagi dan sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka.

Seramai 83 orang daripada 25 keluarga dari Kampung Orang Asli Peta ditempatkan di PPS Kompleks Taman Negara Endau Rompin yang dibuka pada jam 6 petang Selasa.

Artikel Berkaitan: