X

Kindly register in order to view this article
!

Mercun, bunga api bernilai lebih RM1 juta dirampas

Abdul Rahman (tengah) menunjukkan antara mercun dan bunga api yang dirampas dalam serbuan berkenaan.
A
A

JOHOR BAHRU - Pasukan Polis Marin Wilayah 2 (PPMW2) merampas mercun dan bunga api dianggarkan bernilai lebih RM1 juta melalui serbuan di dua premis berasingan di sekitar bandar raya ini petang semalam.

Komandernya, Asisten Komisioner Abdul Rahman Mohamad berkata, pasukannya turut menahan dua lelaki tempatan bagi membantu siasatan.

Menurutnya, pada operasi pertama kira-kira jam 3.30 petang, polis menemui sebanyak 160 kotak bunga api dan mercun dipercayai bernilai RM512,640 ketika serbuan di sebuah premis di Taman Universiti.

“Kita turut menahan seorang lelaki berusia 37 tahun yang dipercayai bekerja sebagai penjaga premis,” katanya pada sidang media di Markas PPMW2 Tampoi di sini hari ini.

Abdul Rahman berkata, serbuan kedua di sebuah premis perniagaan di Taman Setia Indah kira-kira jam 7 malam menemui 256 kotak bunga api dan mercun bernilai RM 561,570 disimpan dalam premis berkenaan.

"Polis juga bertindak memeriksa sebuah lori jenis Isuzu yang di parkir hadapan premis dan menemui 301 kotak mercun serta bunga api yang dianggarkan bernilai RM481,170. Seorang lelaki berusia 27 tahun ditahan untuk membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal dipercayai kedua-dua premis berkenaan itu menjadi pusat penyimpanan barangan terlarang berkenaan sejak awal Disember lalu.

“Kita percaya kesemua barangan ini disimpan terlebih dahulu sebelum dipasarkan ke pasaran tempatan untuk sambutan Tahun Baru 2020 dan menjelang Tahun Baru Cina namun siasatan lanjut sedang dilakukan.

Beliau berkata, kesemua barangan berkenaan telah dibawa ke Markas PPMW2 dan kes disiasat mengikut Akta Bahan Letupan 1957.

Menurutnya, seramai 11 anggota PPMW2 dan dua anggota dari Balai Polis Taman Universiti terlibat dalam operasi antara jam 3 petang hingga 7 malam itu.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!