Mangsa banjir di Kelantan meningkat, Terengganu sedikit menurun

Jajahan yang terjejas ketika ini ialah Kota Bharu, Pasir Mas, Tanah Merah, Jeli, Gua Musang, Pasir Puteh, Machang dan Kuala Krai.
Jajahan yang terjejas ketika ini ialah Kota Bharu, Pasir Mas, Tanah Merah, Jeli, Gua Musang, Pasir Puteh, Machang dan Kuala Krai.
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Mangsa banjir di Kelantan terus meningkat apabila seramai 17,307 ditempatkan di 87 buah pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding 15,147 setakat jam 4 petang pada Selasa.

Sekretariat Pengurusan Bencana Kelantan berkata, setakat jam 7 pagi pada Rabu, kesemua mangsa itu melibatkan 5,466 keluarga di lapan jajahan.

"Jajahan terjejas ketika ini ialah Kota Bharu, Pasir Mas, Tanah Merah, Jeli, Gua Musang, Pasir Puteh, Machang dan Kuala Krai.

"Daripada jumlah itu, Pasir Mas mencatatkan jumlah mangsa paling tinggi iaitu seramai 12,791 orang, diikuti Kuala Krai (2,383), Tanah Merah (1,216), Machang (204), Gua Musang (95), Jeli (82), Kota Bharu (42) dan Pasir Puteh (39)," katanya pada Rabu.

Mangsa banjir di Kelantan terus meningkat apabila seramai 17,307 mangsa berada di 87 PPS berbanding 15,147 setakat jam 4 petang, Selasa.
Mangsa banjir di Kelantan terus meningkat apabila seramai 17,307 mangsa berada di 87 PPS berbanding 15,147 setakat jam 4 petang, Selasa.

Menurut sekretariat itu lagi, dua batang sungai iaitu Sungai Kelantan di Tangga Krai (Kuala Krai) dan Sungai Golok (Rantau Panjang) yang masih melepasi paras bahaya.

Ujarnya, Sungai Kelantan di Tambatan Diraja (Kota Bharu) dan Sungai Golok (Kuala Jambu, Tumpat) melepasi tahap amaran.

Lain-lain sungai utama berada di paras normal kecuali Sungai Nal (Kuala Krai) dan Empangan Bukit Kwong (Rantau Panjang) menunjukkan bacaan di tahap berjaga-jaga.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beberapa kawasan di Tumpat mula ditenggelami banjir, namun setakat ini tiada mangsa yang dipindahkan ke PPS.

Anggota penyelamat membantu memindahkan penduduk yang terjejas banjir. - Foto Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM)
Anggota penyelamat membantu memindahkan penduduk yang terjejas banjir. - Foto Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM)

Di TERENGGANU, jumlah mangsa banjir di Terengganu sedikit berkurang kepada 10,145 mangsa daripada 2,794 keluarga dipindahkan ke 114 pusat pemindahan sementara (PPS) di semua daerah di negeri ini setakat jam 8 pagi ini.

Jumlah itu menurun berbanding 10,258 orang daripada 2,871 keluarga seperti yang direkodkan pada 8 malam Selasa.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam satu kenyataan memaklumkan, Hulu Terengganu merupakan daerah paling teruk terjejas dengan seramai 3,208 mangsa daripada 946 keluarga sudah dipindahkan ke 28 PPS yang telah diaktifkan.

Menurutnya, mangsa banjir di daerah Dungun pula kini seramai 2,796 orang daripada 758 keluarga dan semua mereka ditempatkan di 32 PPS yang diaktifkan di sana.

Bagi daerah Setiu, 25 PPS sudah dibuka bagi menempatkan 1,781 mangsa daripada 511 keluarga yang terjejas banjir, manakala di Besut pula melibatkan 179 keluarga terdiri daripada 881 individu sudah dipindahkan ke 13 PPS," kata kenyataan itu pada Rabu.

Menurut kenyataan itu, mangsa banjir di daerah Kemaman melibatkan seramai 1,183 orang daripada 326 keluarga dan semua mereka ditempatkan di sembilan PPS yang diaktifkan di sana.

Selain itu, katanya, di Marang pula kini seramai 133 individu daripada 34 keluarga yang sudah dipindahkan ke dua PPS manakala di Kuala Nerus melibatkan tiga keluarga terdiri daripada 13 orang ditempatkan di dua PPS.

Tambah kenyataan itu lagi, Kuala Terengganu yang menjadi daerah terbaharu terjejas akibat bencana tersebut menempatkan seramai 150 mangsa daripada 37 keluarga di tiga PPS.

Jelas kenyataan itu, cuaca hujan masih melanda di beberapa tempat di daerah yang terlibat bencana berkenaan.