Doping undang risiko maut!

Azura Abidin
Azura Abidin
A
A
A

TIDAK keterlaluan jika dikatakan isu doping atau pengambilan bahan terlarang dalam kalangan atlet negara bagai satu virus yang mampu membunuh

Seperti tidak serik dengan beberapa kes sebelum ini, masih ada atlet – tidak kira berstatus senior mahupun junior terlibat dengan pengambilan bahan terlarang.

Bahana pengambilan bahan terlarang itu seolah-olah tidak menggentarkan mereka sehinggakan setiap tahun masih timbul kisah atlet yang ‘kantoi’ doping.

Hakikat itu diakui Pengarah Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS), Azura Abidin ketika ditemui Sukan Sinar di Menara KBS, Putrajaya pada Selasa.

Azura memberitahu, terdapat beberapa faktor yang mendorong kepada penggunaan bahan terlarang dalam kalangan atlet.

“Antara faktor tersebut termasuk meningkatkan daya tahan, stamina dan kekuatan tenaga termasuk untuk mengawal tekanan sewaktu pertandingan... itu semua sekadar jalan pintas untuk berjaya.

“Tindakan mengambil bahan terlarang dengan apa tujuan sekalipun hanya akan merosakkan masa depan atlet itu sendiri," katanya.

Menurut Azura, pengambilan bahan terlarang itu ternyata mendatangkan lebih banyak kemudaratan berbanding kebaikan kepada atlet terlibat.

Artikel Berkaitan:

“Kesannya besar. Ini disebabkan risiko-risiko pengambilan bahan terlarang akan memberikan kesan terhadap kesihatan dalam jangka masa panjang.

“Akibat daripada pengambilan bahan terlarang, ia berisiko menyebabkan kegagalan beberapa organ utama dalam badan.

“Baik kegagalan jantung, hati, buah pinggang mahupun organ lain. Itu semua kesan daripada pengambilan bahan terlarang terutamanya steroid,” jelasnya.

Pada masa sama, Azura berkata, cabaran utama adalah bagaimana untuk memastikan atlet berada dalam keadaan kesihatan yang baik untuk beraksi dalam sesuatu kejohanan atau terlibat dalam pemilihan pasukan.

“Tidak dinafikan, atlet juga terdedah kepada risiko kecederaan. Di sinilah peranan semua pihak termasuk pasukan perubatan dalam merancang pelan rawatan terbaik atlet berkenaan.

“Atlet perlu mendapatkan rawatan yang sewajarnya dan jika terpaksa menggunakan rawatan atau kaedah yang dilarang dalam sukan, atlet boleh memohon pengecualian penggunaan bahan terapeutik bagi tujuan perubatan dan kelulusan akan diberikan berdasarkan kepada kriteria yang telah ditetapkan.

“Jangan hanya semata-mata mahu mencapai kejayaan dalam masa yang singkat, kita sanggup mengambil jalan pintas dengan pengambilan bahan atau kaedah terlarang.

“Bersukan harus dilakukan dengan penuh semangat kesukanan, adil dan bukannya dengan menggunakan jalan pintas yang memudaratkan dan menjejaskan integriti sukan.

“Malah, dalam jangka masa panjang, ia boleh membawa mudarat atau kesan yang lebih besar sehingga mengundang maut,” tegas Azura.

Mengenai bentuk hukuman, Azura berkata, atlet terlibat berdepan dengan penggantungan, sekali gus akan meranapkan karier mereka.

“Jika dijatuhkan hukuman, mereka tidak boleh terlibat dalam sebarang sukan. Hukuman pelanggaran antidoping juga boleh dikenakan kepada jurulatih dan badan sukan,” jelasnya.

Azura memberitahu, pengambilan bahan terlarang membabitkan atlet negara secara tidak langsung turut mencalarkan imej Malaysia.

“Untuk makluman, isu doping ini juga telah dikategorikan sebagai satu elemen sukan yang diberi perhatian terutama di peringkat antarabangsa.

“Jadi apabila ada atlet negara terlibat dengan doping atau pengambilan bahan terlarang, maka ia sudah tentu turut memberi kesan buruk kepada imej Malaysia,” ujarnya.

Dalam pada itu, Azura berkata, pihaknya akan terus melipatkan usaha untuk terus memberi 'pendidikan' kepada atlet negara agar tidak terlibat dengan pengambilan bahan terlarang.

“Bagi saya pendidikan itu penting. Selaku badan bertanggungjawab, ADAMAS akan sentiasa menyalurkan maklumat dan memberi kesedaran kepada atlet tentang hukuman dan akibat pelanggaran peraturan anti-doping khususnya kehadiran bahan terlarang dalam sampel atlet.

“Apabila sudah bergelar atlet berprestasi tinggi, mereka bukan saja perlu menjaga makan minum, tetapi juga harus menjaga imej negara dan diri sendiri.

“Jadi nasihat saya kepada atlet di luar sana, biarlah kita menang secara bersih. Jangan nanti bila dah 'sangkut' doping, habis malu diri sendiri dan mencalarkan imej Malaysia,“ jelasnya.

Azura menambah, setiap individu memainkan peranan dalam mengekalkan sukan yang bersih - bermula daripada mereka yang bermain sukan sehingga kepada pegawai dan penyokong.

“Menyokong sukan bersih bermaksud memperkuat nilai-nilai sukan yang berintegriti dan bersukan dengan adil. Ia juga bermakna mematuhi peraturan anti-doping dengan memahami dan mengelakkan pelanggaran peraturan anti-doping (ADRV),“ katanya.