Rugi RM4,400 selepas bahu ditepuk warga asing

Mustafa ditenangkan isterinya, Zainon Mohd Yusof, 60, selepas menjadi mangsa penipuan tiga individu tidak dikenali di pasar pagi di Taman Sekinchan Jaya di sini pada Selasa.
Mustafa ditenangkan isterinya, Zainon Mohd Yusof, 60, selepas menjadi mangsa penipuan tiga individu tidak dikenali di pasar pagi di Taman Sekinchan Jaya di sini pada Selasa.
A
A
A

SABAK BERNAM - Seorang warga emas kerugian kira-kira RM4,400 apabila disyaki diperdaya tiga individu tidak dikenali di pasar pagi Selasa di Taman Sekinchan Jaya di sini pada Selasa.

Mustafa Mohd Akhir, 71, berkata, kejadian kira-kira jam 8 pagi itu berlaku semasa dia membeli pelbagai juadah sarapan pagi.

Menurutnya, sebaik selesai membeli, dia kemudiannya didatangi seorang lelaki dipercayai warga asing menepuk bahu belakang badannya dan bertanya ingin ke sebuah bank untuk mengeluarkan wang.

"Sejurus itu, seorang lelaki dan wanita datang ke arah saya dan mereka minta saya mengikuti mereka ke sebuah kereta.

"Saya yang berniat ingin membantu ketiga-tiga individu itu terus menaiki kereta tersebut sambil membawa barangan yang telah dibeli di pasar pagi," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Parit 5 Sentosa Sekinchan di sini pada Selasa.

Mustafa berkata, semasa di dalam kereta, dia duduk di tempat duduk belakang bersama seorang wanita, manakala lelaki pertama yang menepuk bahunya berada di tempat penumpang hadapan dan kereta dipandu seorang lagi lelaki.

"Semasa di dalam kereta, pemandu lelaki itu menegur jam yang saya pakai dan ingin melihatnya.

"Saya membuka jam dipakai di tangan dan menyerahkan kepada pemandu tersebut, manakala dua cincin pula saya tanggalkan untuk dilihat wanita tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Saya seolah-olah diperdaya dan menurut sahaja kehendak mereka hingga membiarkan sahaja jam dan dua cincin saya diambil oleh wanita itu dan memasukkan ke dalam begnya," ujarnya.

Jelasnya, sebaik tiba di bank, salah seorang lelaki memintanya mengeluarkan wang pada mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

Bagaimanapun, katanya, dia memberi alasan tidak mempunyai wang di dalam akaun bank itu sebelum ketiga-tiga mereka tergesa-gesa meninggalkannya di bank terbabit.

"Saya menyedari ditipu apabila tiga individu itu tidak muncul lebih 15 minit selepas memberitahu akan mengambil saya semula selepas membuat pengeluaran di bank lain," tambahnya.

Jelasnya, dia kemudiannya menghubungi keluarga untuk mengambilnya yang ditinggalkan bersendirian tiga individu tersebut.

Katanya, kerugian dialami membabitkan jam jenis Rado bernilai RM3,200 dan dua cincin bernilai RM1,200.

"Kejadian ini membuatkan saya trauma, lebih-lebih lagi saya bukanlah orang senang dan barangan yang saya miliki itu ada kenangan manis tersendiri," ujarnya yang berhasrat membuat laporan polis dalam waktu terdekat.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Deputi Superintenden Khalid Mohamad berkata, kejadian seperti ini menyasarkan warga emas bersendirian dengan memperdaya mangsa dengan kata-kata simpati.

Khalid
Khalid

Tegas beliau, polis menasihatkan orang ramai untuk sentiasa berhati-hati terutamanya ketika berurusan dengan individu yang baharu dikenali.

"Masyarakat dinasihatkan supaya menerapkan perasaan syak-wasangka dan jangan mudah percaya dengan tawaran tidak munasabah serta peka dengan trend penipuan terkini.

"Mangsa atau mana mana individu yang mempunyai maklumat berhubung perkara ini, dialu-alukan untuk membuat laporan polis atau berhubung terus dengan pihak polis supaya siasatan lanjut dapat dibuat," katanya.