UPKO tak tolak kemungkinan jadi sebahagian gabungan parti tempatan Sabah

Ewon
Ewon
A
A
A

PENAMPANG - Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick tidak menolak kemungkinan parti itu menjadi sebahagian daripada penyatuan besar parti tempatan di negeri ini.

Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, beliau melihat dari sudut positif usaha parti berasaskan tempatan seperti Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) menjalinkan kerjasama mereka.

Menurutnya, UPKO juga mengalu-alukan sebarang inisiatif bekerjasama bukan hanya dalam soal penggabungan parti saja tetapi kerjasama dalam kerajaan itu sendiri.

"Rakyat sedang memerhati kami yang juga pernah berbicara tentang cadangan-cadangan menggabungkan parti-parti berasaskan kelompok masyarakat Sabah ini sama ada dalam gabungan negeri atau kebangsaan.

"Saya mendoakan supaya hasrat PBS dan STAR ini mencapai objektif dan menjadi realiti. Mudah-mudahan suatu hari nanti di pihak saya juga akan menjadi sebahagian daripada penyatuan besar parti-parti di Sabah ini," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Ramah Mesra dan Rumah Terbuka Krismas di Pusat Kebudayaan Penampang di sini pada Selasa.

Hadir sama pada majlis itu, Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin; Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan Presiden Kehormat UPKO, Datuk Seri Madius Tangau.

Ewon memotong kek bersama tetamu jemputan sempena Majlis Ramah Mesra dan Rumah Terbuka Krismas di Pusat Kebudayaan Penampang.
Ewon memotong kek bersama tetamu jemputan sempena Majlis Ramah Mesra dan Rumah Terbuka Krismas di Pusat Kebudayaan Penampang.

Sementara itu, mengulas usaha pihak tertentu cuba menumbangkan kerajaan, Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang kekal dengan pendiriannya untuk tidak menyokong usaha yang diistilah sebagai 'menebuk atap'.

Artikel Berkaitan:

"Saya fikir tidak akan ada apa yang diistilahkan sebagai kerajaan tebuk atap. Walaupun ada usaha cubaan tetapi saya tidak fikir tebuk atap itu berlaku.

"Di Sabah ini ada cubaan sedemikian, tetapi saya antara wakil rakyat yang berjaya menghalang apa juga usaha yang cuba dilakukan untuk menggulingkan kerajaan yang telah dipilih melalui pilihan raya.

"Saya terus dengan pendirian saya, selagi saya menjadi Presiden UPKO, saya tidak akan memberi sokongan kepada mana-mana usaha yang cuba untuk menggantikan mana-mana kerajaan yang ditubuhkan selepas perundingan yang sah untuk menubuhkan kerajaan," tegasnya.

Sehubungan itu, beliau berpandangan kerajaan yang ditubuhkan melalui gabungan parti yang bertanding harus kekal sehingga tamatnya penggal atau kerajaan itu dibubarkan.