'Semoga hubungan Amanah-UMNO terus kukuh' - Ahmad Maslan

Ahmad (dua dari kanan) dan Mohamad (tiga dari kanan) bergambar bersama pemimpin UMNO, PKR serta Amanah.- Foto FB Ahmad Maslan
Ahmad (dua dari kanan) dan Mohamad (tiga dari kanan) bergambar bersama pemimpin UMNO, PKR serta Amanah.- Foto FB Ahmad Maslan
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengucapkan tahniah kepada barisan kepimpinan Parti Amanah Negara (Amanah) yang dipilih menerajui parti berkenaan bagi sesi 2023-2026.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berharap barisan kepimpinan berkenaan dapat mengekalkan hubungan yang utuh di dalam Kerajaan Perpaduan, demi manfaat rakyat dan negara.

"Tahniah Datuk Seri Mohamad Sabu dipilih sebagai Presiden Amanah, Senator Dr Mujahid Yusof (Timbalan) dan Dr Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan (memperoleh) undi tertinggi daripada 27 yang dipilih.

"Semoga hubungan Amanah dengan UMNO terus kukuh dalam #KerajaanPerpaduan," katanya ringkas menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Mohamad berjaya mempertahankan jawatan sebagai Presiden Amanah bagi penggal 2023-2026 pada pemilihan kepimpinan parti itu pada Ahad.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu akan bergandingan dengan Mujahid selaku Timbalan, manakala jawatan Naib Presiden pula masing-masing diisi oleh Dr Dzulkefly, Dr Siti Mariah Mahmud dan Adly Zahari.

Perlembagaan parti tersebut menetapkan kedudukan lima jawatan tertinggi termasuk presiden ditentukan secara konsensus oleh 27 pimpinan tertinggi yang dipilih oleh perwakilan.

Berdasarkan perlembagaan berkenaan, seseorang hanya boleh menjadi presiden selama tiga penggal berturut-turut.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, pemilihan kali ini juga merupakan penggal terakhir bagi Ahli Parlimen Kota Raja itu menerajui parti serpihan Pas tersebut.