Ratusan warga Bangladesh berjalan di Pengerang ditahan

Tangkap layar video tular memaparkan warga Bangladesh berjalan di tepi jalan di Pengerang pada Rabu lalu.
Tangkap layar video tular memaparkan warga Bangladesh berjalan di tepi jalan di Pengerang pada Rabu lalu.
A
A
A

KOTA TINGGI - Polis mengesahkan video tular memaparkan warga asing yang berjalan beramai-ramai di Pengerang merupakan kejadian yang berlaku pada Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, kesemua warga Bangladesh itu sudah ditahan.

Jelasnya, susulan laporan dibuat Angkatan Tentera Malaysia (ATM), sepasukan polis telah dihantar bagi membuat pemeriksaan lanjut ke atas warga asing tersebut.

"Ya benar, video yang tular itu merupakan kejadian baharu minggu lalu.

"Kejadian berlaku pada pagi Rabu lalu apabila ratusan warga asing Bangladesh telah dikesan berjalan kaki di kawasan hadapan simpang masuk, Teluk Ramunia Bayu Damai, di sini," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

@sinarharianonline Polis mengesahkan video tular memaparkan warga asing yang berjalan beramai-ramai di Pengerang merupakan kejadian yang berlaku pada Rabu lalu. Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, kesemua warga Bangladesh itu sudah ditahan. #fyp#sinarharian#sinarterkini#kotatinggi#johor#wargasing#pdrm#polis original sound - Sinar Harian

Menurut Husin, hasil pemeriksaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) seramai 171 lelaki warga Bangladesh berumur antara 19 hingga 43 tahun telah ditahan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

"Warga asing tersebut hendak ke Balai Polis Bayu Damai untuk membuat laporan polis kerana ejen pekerjaan tidak memberikan mereka pekerjaan.

"Mereka bukan pendatang asing tanpa izin (PATI) kerana mereka masuk melalui jalan yang sah melalui ejen-ejen pekerjaan. Dianggarkan sudah tiga hingga enam bulan mereka tidak dapat sebarang pekerjaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, kesemua warga asing berkenaan telah dihantar ke Jabatan Imigresen Setia Tropika, Johor Bahru.

Sebelum itu, video tular berdurasi satu minit 33 saat memaparkan seorang pengguna yang sedang memandu kereta terkejut dengan kehadiran ratusan warga asing yang sedang berjalan kaki dalam barisan yang panjang didakwa berlaku di Pengerang.

Video berkenaan mengundang pelbagai komen orang ramai yang bimbang dengan kehadiran terlalu ramai warga asing itu.