Fasa baharu perang Gaza?

Unit infantri IDF dilaporkan terpaksa berundur dari Genting Gaza selepas mengalami kekalahan teruk di tangan Hamas. - Foto AFP
Unit infantri IDF dilaporkan terpaksa berundur dari Genting Gaza selepas mengalami kekalahan teruk di tangan Hamas. - Foto AFP
A
A
A

TEL AVIV - Pasukan Pertahanan Israel (IDF) merancang untuk menamatkan operasi pencerobohan darat ke atas Genting Gaza dan mengalihkan tumpuan kepada serangan udara di bawah fasa baharu perang genosid di wilayah tersebut.

Rancangan jahat itu didedahkan stesen penyiar di Tel Aviv yang melaporkan rejim Zionis kini merancang untuk bergerak kepada fasa ketiga pertempuran lebih ganas di Gaza dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

“Fasa baharu itu termasuk mengurangkan anggota tentera dan menamatkan khidmat pasukan askar simpanan serta menubuhkan zon penampan di sempadan antara Tel Aviv dan Gaza,” jelas laporan tersebut lagi.

Menurutnya, IDF kini mengambil kawalan penuh ke atas sebahagian besar kawasan di utara Gaza, namun berdepan kesukaran untuk mara ke selatan yang terus dihujani bom.

Laporan itu dikeluarkan beberapa hari selepas Briged Golani (unit infantri IDF) terpaksa berundur dari wilayah tersebut kononnya untuk ‘mengatur semula anggota mereka’ selepas ramai tewas di tangan pejuang Hamas.

Sementara itu, The Washington Post melaporkan anggota IDF berdepan ‘perangkap maut’ di Gaza selepas pejuang Hamas menggunakan pelbagai taktik hingga musuh akhirnya terpedaya.

Perang ganas yang telah berlarutan selama 79 hari menyaksikan rejim Zionis masih gagal mencapai objektif utama mereka yang mahu menghapuskan Hamas, sebaliknya ia mendedahkan kelemahan ketara mereka termasuk lebih 150 anggota dilaporkan terbunuh. - AFP

Artikel Berkaitan: