Ancaman kera: Penduduk larang anak-anak bermain di luar rumah

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

KUALA KRAI - [DIKEMAS KINI] Penduduk di Kampung Melati, Jalan Jirat Cina di sini diselubungi ketakutan selepas berdepan ancaman kera liar.

Lebih membimbangkan lagi apabila seorang kanak-kanak berusia lima tahun menerima lebih 30 jahitan akibat digigit haiwan liar itu pada Jumaat.

Wakil penduduk Che Hasmani Che Mat,51, berkata, sejak kejadian Jumaat lalu kehidupan mereka menjadi tidak tenteram setiap kali memikirkan soal keselamatan.

"Lebih membimbangkan lagi setiap kumpulan kera ini mempunyai antara 30 hingga 60 ekor. Di sini kami (penduduk) berhadapan dengan tiga kumpulan haiwan liar tersebut.

Che Hasmani (kanan) dan Siti Aisyah menunjukkan kawasan yang sering menjadi pilihan kera liar di Kampung Melati, Jalan Jirat Cina, Kuala Krai.
Che Hasmani (kanan) dan Siti Aisyah menunjukkan kawasan yang sering menjadi pilihan kera liar di Kampung Melati, Jalan Jirat Cina, Kuala Krai.

"Setakat merosakkan harta benda kami tidak kisah sangat, tapi bila melibatkan keselamatan nyawa ia menjadi sesuatu yang menakutkan," katanya kepada pemberita.

Menurutnya, sejak itu penduduk tidak lagi membenarkan anak-anak untuk bermain di luar rumah apabila memikirkan kejadian tersebut.

Seorang lagi penduduk Siti Aisyah Awang, 60, berkata, dia berharap pihak berkenaan dapat mengambil langkah segera bagi mengatasi masalah ini.

Artikel Berkaitan:

Ujar dia, situasi itu menyebabkan penduduk berada dalam keadaan berwaspada setiap kali keluar dari rumah.

Sementara itu Penghulu Mukim Tualang, Zulkhairi Mohd Razi berkata, perkara tersebut sudah berada dalam pengetahuan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guchil, Hilmi Abdullah.

Penduduk menghalau kera bagi memastikan kanak-kanak di kawasan tersebut selamat.
Penduduk menghalau kera bagi memastikan kanak-kanak di kawasan tersebut selamat.

"Pada masa sama perkara tersebut sudah dirujuk ke pengetahuan Perhilitan (Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara)," ujarnya.

Sinar Harian pada Sabtu melaporkan, seorang kanak-kanak berusia lima tahun cedera parah akibat digigit seekor kera di Kampung Melati, Jalan Jerat Cina di sini pada Jumaat.

Penduduk di Kampung Melati, Jalan Jirat Cina di Kuala Krai diselubungi ketakutan selepas berdepan ancaman kera liar.
Penduduk di Kampung Melati, Jalan Jirat Cina di Kuala Krai diselubungi ketakutan selepas berdepan ancaman kera liar.

Dalam kejadian jam 2 petang itu, mangsa, Che Mohamad Harith Maliq Abdul Rahman mengalami luka teruk di bahagian kaki kanan, perut serta belakang badan akibat digigit haiwan liar terbabit.

Kesan gigitan itu menyebabkan mangsa dilaporkan menerima lebih 30 jahitan dan menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail Petra di sini.