Chelsea kurang motivasi berdepan kelab kecil

Aksi pemain Chelsea, Willian (kiri) ketika cuba mengekang tonggak Southampton, James Ward-Prowse pada aksi di Stamford Bridge Khamis lalu.
Aksi pemain Chelsea, Willian (kiri) ketika cuba mengekang tonggak Southampton, James Ward-Prowse pada aksi di Stamford Bridge Khamis lalu.
A
A
A

PEMAIN Chelsea digesa lebih konsisten apabila berdepan kelab kecil pada baki saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Tonggak The Blues, Kurt Zouma berkata, aspek itu penting selepas kelab London berkenaan terpaksa berputih mata dalam beberapa perlawanan sebelum ini.

Menurutnya, The Blues lebih konsisten untuk meraih kemenangan apabila berdepan kelab besar seperti Tottenham Hotspur dan Arsenal biarpun beraksi di laman lawan.

"Motivasi dalam kalangan pemain Chelsea selalunya ada untuk perlawanan-perlawanan menentang kelab besar biarpun di laman lawan.

"Tapi kami kurang bermotivasi apabila berdepan kelab kecil seperti Bournemouth dan Southampton menyebabkan kami tewas walaupun beraksi di Stamford Bridge.

"Pada saya semua ini berkaitan dengan kurangnya motivasi dalam kalangan pemain khasnya pemain muda Chelsea," katanya.

The Blues berjaya mengalahkan dua seteru London iaitu Tottenham Hotspur dan Arsenal di laman lawan sebelum ini.

Namun, Chelsea berdepan kekalahan di Stamford Bridge apabila berdepan West Ham, Bournemouth dan terakhir Southampton.

Artikel Berkaitan:

Tambah mengecewakan adalah apabila dalam empat perlawanan terakhir di Stamford Bridge, skuad Frank Lampard itu cuma mengutip satu kemenangan yang diperoleh dari Aston Villa.

Chelsea kini mengekalkan kedudukan di tangga keempat dengan 35 mata selepas 20 perlawanan sambil diekori rapat Manchester United (5) dan Tottenham (6).

Anak buah Lampard akan berkunjung ke Stadium Amex bagi menentang Brighton pada hari ini.