Buat simpanan di SSPN, nikmati pelepasan taksiran cukai 2023

Orang ramai disaran supaya segera membuat simpanan SSPN sebelum 31 Disember ini. - Foto Bernama
Orang ramai disaran supaya segera membuat simpanan SSPN sebelum 31 Disember ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Orang ramai diseru supaya segera membuat simpanan di Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) sebelum 31 Disember ini bagi membolehkan mereka mendapatkan pelepasan taksiran cukai pendapatan terhadap simpanan hingga RM8,000 bagi tahun taksiran 2023 serta pelbagai manfaat lain.

Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, ia merupakan antara insentif istimewa kepada pendeposit Simpan SSPN berbanding produk simpanan lain yang ada di pasaran.

"Pendeposit disarankan membuat pembukaan akaun atau penambahan simpanan melalui aplikasi myPTPTN bagi urusan yang lebih mudah, cepat dan selamat.

"Mereka juga boleh melayari portal rasmi PTPTN menerusi www.ptptn.gov.my untuk mengetahui maklumat lanjut mengenai keistimewaan dan manfaat produk Simpan SSPN,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Norliza berkata, antara keistimewaan lain Simpan SSPN termasuk perlindungan takaful percuma secara ringgit ke ringgit kepada pendeposit yang mempunyai simpanan RM1,000 dan ke atas sekiranya berlaku kematian atau ilat kekal menyeluruh kepada mereka.

Beliau berkata, walaupun menyedari nilai manfaat itu tidak dapat menggantikan kasih sayang dan tanggungjawab sebagai seorang ibu atau bapa, simpanan di dalam Simpan SSPN dan nilai manfaat yang diterima berkenaan dapat menampung kos pendidikan anak-anak yang ditinggalkan.

"Simpan SSPN Prime juga menawarkan Geran Sepadan secara percuma sehingga RM10,000 bagi satu keluarga yang layak iaitu ibu bapa yang mempunyai pendapatan bulanan tidak melebihi RM4,000,” katanya.

Geran Sepadan merupakan insentif kewangan yang ditawarkan bagi penerima manfaat iaitu anak-anak yang diterima dan mendaftar masuk ke mana-mana Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) yang diiktiraf oleh kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, katanya sebagai tanda penghargaan dan menggalakkan lagi amalan menabung, PTPTN turut mengadakan Kempen Cabutan WOW! Simpan SSPN 2023 yang menawarkan hadiah wang tunai lumayan dengan jumlah keseluruhan bernilai hampir RM500,000 menanti 138 pemenang.

Tempoh promosi kempen bermula pada 1 Januari 2023 dan akan berakhir pada 31 Disember 2023, katanya. - Bernama