Peniaga festival makanan dalam radar KPDN

Norena (tiga dari kiri) menunjukkan sayuran yang diwartakan bagi pelaksanaan SHMMP Krismas 2023 di Aeon Ayer Keroh pada Sabtu.
Norena (tiga dari kiri) menunjukkan sayuran yang diwartakan bagi pelaksanaan SHMMP Krismas 2023 di Aeon Ayer Keroh pada Sabtu.
A
A
A

MELAKA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka mengingatkan peniaga terutama di festival jualan makanan negeri ini untuk tidak mengenakan harga dengan caj terlalu mahal.

Pengarahnya, Norena Jaafar berkata, pegawai penguat kuasa akan terus melakukan serbuan di festival jualan makanan termasuk makanan tular supaya harga yang dikenakan tidak membebankan pengguna.

Menurut Norena, pihaknya tidak akan bertolak ansur sekiranya didapati wujud caj makanan yang tidak relevan dan akan terus mengeluarkan notis atau kompaun di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011.

Katanya, meskipun pengusaha dan peniaga makanan dihimpit dengan kenaikan kos bahan mentah, namun bukanlah alasan untuk mereka menaikkan harga sehingga 200 peratus yang dianggap agak melampau.

"Kita pergi secara rawak ke mana-mana mereka adakan festival makanan dan kebanyakan di kawasan Melaka Tengah.

"Kita nasihatkan mereka tidak naikkan harga sewenang-wenangnya dan ada wujudnya solusi menang-menang supaya peniaga juga tidak mengalami kerugian," katanya.

Sebahagian barangan tag harga berwarna merah jambu yang diletakkan di bawah SHMMP.
Sebahagian barangan tag harga berwarna merah jambu yang diletakkan di bawah SHMMP.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Pemantauan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) yang disempurnakan oleh Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna, Allex Seah Shoo Chin di Aeon Ayer Keroh di sini pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama, Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna, Tuminah Kadi@ Hashim.

Dalam perkembangan lain, Norena turut berharap pengguna dapat menyalurkan maklumat sekiranya terdapat peruncit yang didakwa melakukan aktiviti menyorokkan barang kawalan seperti minyak masak peket, gula dan tepung.

"Kita tidak akan bertoleransi dalam hal seperti ini demi memastikan pengguna tidak terputus barang kawalan dan dinasihatkan ada yang memerhati.

"Berdasarkan media sosial juga kita mendapat banyak maklum balas rakyat dan akan terus melakukan serbuan di kedai-kedai runcit dan juga pasar raya," katanya.

Dalam pada itu, Norena berkata, sepanjang pelaksanaan SHMMP, tiada tindakan kes direkodkan berikutan aktiviti penguatkuasaan yang dibuat secara menyeluruh supaya peniaga sentiasa mematuhi arahan.