Belum ada kata putus guna rumput Zeon Zoysia di Stadium Perak

Khairudin
Khairudin
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak belum mencapai kata putus berhubung penggunaan rumput jenis Zeon Zoysia di Stadium Perak.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, perbincangan bersama Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) masih diteruskan dalam memperincikan pengurusan dan kos penyelenggaraan bagi tempoh jangka panjang.

Menurut beliau, penyelenggaraan rumput memerlukan peruntukan melebihi RM1 juta.

"Kita belum ada keputusan lagi memikirkan kos penyelenggaraan, baik pulih, penjagaan rumput, kos penanaman.

"Kos penanaman mungkin boleh tetapi kos penjagaan rumput itu yang difahamkan banyak negeri masih belum beri keputusan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pemilihan Majlis Belia dan Sukan negeri di Dewan Kompleks Jabatan Belia dan Sukan Perak di sini pada Sabtu.

Khairudin (lima dari kanan) hadir merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pemilihan Majlis Belia dan Sukan negeri di Dewan Kompleks Jabatan Belia dan Sukan Perak di Ipoh.
Khairudin (lima dari kanan) hadir merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pemilihan Majlis Belia dan Sukan negeri di Dewan Kompleks Jabatan Belia dan Sukan Perak di Ipoh.

Beliau berkata, perkara itu dibangkit dalam mesyuarat bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kerana memikirkan kos penyelenggaraan tinggi yang mungkin boleh menjadi satu bebanan.

Artikel Berkaitan:

"Jadi perkara ini kita perlukan perincian supaya kita tidak akan ada permasalahan selepas ianya ditanam nanti," katanya.

MBI memaklumkan perbincangan bersama kerajaan negeri masih diteruskan dan keputusan untuk menggunakan rumput jenis Zeon Zoysia itu dijangka akan diketahui hujung tahun ini.

Media sebelum ini melaporkan kos sekitar RM4.7 juta perlu disediakan oleh kerajaan negeri yang berhasrat untuk menukar rumput jenis Zeon Zoysia.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, tawaran untuk menaja penukaran rumput daripada Cow Grass kepada Zeon Zoysia masih ada, namun kos penyelenggaraan adalah di bawah tanggungjawab kerajaan negeri.

Setakat ini, hanya Sarawak menyatakan persetujuan untuk menggunakan rumput itu manakala Terengganu, Wilayah Persekutuan dan Pahang memilih untuk menggunakan rumput sedia ada.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!