Tun M gembira melihat kejayaan Putrajaya

Putrajaya meraikan 25 tahun penubuhannya pada tahun 2020.
Putrajaya meraikan 25 tahun penubuhannya pada tahun 2020.
A
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad gembira melihat Putrajaya yang dibangunkannya kini berusia 25 tahun.

Menurutnya, pusat pentadbiran Putrajaya dibangunkan hasil daripada perpaduan, kestabilan dan keamanan negara.

"Sebenarnya saya tidak bermimpi untuk melihat acara seperti ini,"katanya dalam ucapan ringkas dihadapan ribuan pengunjung Festival Light and Motion Putrajaya (LAMPU) 2019 bersempena pelancaran Sambutan Jubli Perak Putrajaya di sini malam ini.

Turut hadir pada majlis itu, isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan Datuk Hajah Rosida Jaafar dan Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Dr Aminuddin Hassim.

Dalam ucapannya menyeru seluruh rakyat bersatu dan menzahirkan rasa sayang kepada negara serta Putrajaya.

"Sayangilah Putrajaya, sayangilah negara kita bersama," katanya.

Tahun 2020 merupakan tahun signifikan kepada Putrajaya yang dibangunkan hasil idea Dr Mahathir sewaktu menjawat jawatan Perdana Menteri keempat.

Sambutan Jubli Perak Putrajaya diraikan dengan penuh kemeriahan sepanjang tahun.

Artikel Berkaitan:

Padat dengan pelbagai acara, program serta pengisian yang dibawakan khas bermula bulan Januari tahun hadapan, kemuncak sambutan adalah pada 29 Ogos 2020 di mana Kapsul Masa yang ditanam sendiri oleh Dr Mahathir pada 29 Ogos 1995 iaitu 25 tahun yang lalu akan dikeluarkan dan dibuka.