Tinggal nota minta maaf di sisi mayat bayi

Mayat bayi ditemukan di dalam tong sampah sanitasi di sebuah pusat beli belah di Kota Kinabalu.
Mayat bayi ditemukan di dalam tong sampah sanitasi di sebuah pusat beli belah di Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Mayat seorang bayi perempuan ditemukan bersama sekeping nota di sisi di dalam tong sampah sanitasi di sebuah pusat beli-belah di sini pada malam Khamis.

Bayi cukup sifat itu ditemukan oleh pekerja pembersihan yang ketika itu mahu menukar plastik tong sampah sanitasi tersebut.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden Kalsom Idris berkata, pihaknya menerima aduan berhubung kejadian itu daripada seorang penyelia syarikat pembersihan pada jam 9.40 malam.

"Sepasukan polis seterusnya ke lokasi dan mendapati mayat bayi perempuan yang cukup sifat itu ditemukan dalam keadaan dibalut dengan tuala.

"Turut ditemukan sekeping kertas dengan pesanan yang bertulis 'saya meminta maaf dan meminta tolong mencari tempat sesuai untuk anak saya. Terima kasih pertolongan anda. Jangan kecam saya. Saya pun tidak mahu ini terjadi," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sehubungan itu, Kalsom berkata, pihaknya kini sedang giat menjalankan siasatan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.

"Selain itu, pihak polis turut membuat risikan di lokasi kejadian dan mendapatkan maklumat bagi mengenal pasti suspek yang terlibat.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini diminta berhubung dengan Inspektor Hatikah Ahmad @ Abd Ghani di talian 0168337243," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kalsom berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum dua tahun penjara atau denda atau kedua-duanya sekali.

"Polis menegaskan mana-mana individu yang terlibat dalam perbuatan tidak bertanggungjawab dengan menyembunyikan kelahiran dan mengambil jalan membuang mayat secara sulit akan diambil tindakan undang-undang yang tegas," katanya.