Dua maut, lima hilang belukar di Australia terbakar

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

ANKARA - Dua orang maut selepas berpuluh-puluh kebakaran belukar merebak ke seluruh timur Australia, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan pihak berkuasa hari ini.

Kedua-dua mangsa yang dipercayai seorang bapa dan anak lelakinya, terbunuh ketika kebakaran melanda pekan Bega Valley di Cobargo pada awal pagi manakala seorang lagi masih hilang, lapor stesen penyiar ABC News yang berpangkalan di Australia memetik kenyataan pegawai tempatan.

Kebakaran itu telah memusnahkan bangunan di sepanjang Pantai Selatan New South Wales, kata anggota bomba.

Kebakaran belukar di Gippsland, sebuah wilayah di bahagian tenggara, telah memusnahkan berpuluh-puluh hartanah termasuk kediaman dan sebuah sekolah rendah dan menyebabkan empat orang hilang.

Operasi mencari dan menyelamat mangsa yang hilang sedang dijalankan.

Tujuh amaran kecemasan telah dikeluarkan bagi Gippsland Timur di mana lebih 400,000 hektar tanah telah terbakar, lapor ABC News.

Semalam, pihak berkuasa telah mengeluarkan amaran kecemasan bagi kebakaran belukar yang di luar kawalan di utara Melbourne.

Pihak berkuasa telah meminta penduduk menutup semua pintu, mematikan sistem penyejukan dan berlindung di dalam bilik yang mempunyai dua pintu keluar serta berpindah ke kawasan yang sudah hangus jika rumah mereka terbakar.

Artikel Berkaitan:

Angka korban akibat kebakaran belukar besar-besaran yang berlaku sejak Ogos telah meningkat kepada 12 orang. - Bernama