Pemansuhan Seksyen 498 tidak jejas usaha kukuh institusi keluarga - Mohd Na'im

Mohd Na'im - Foto Bernama
Mohd Na'im - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan yang memutuskan bahawa Seksyen 498 Kanun Keseksaan sebagai tidak berperlembagaan.

Menterinya, Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, semua pihak diseru menghormati keputusan penghakiman itu yang dibuat berdasarkan kebijaksanaan hakim berpandukan peruntukan perlembagaan serta undang-undang dalam mencari penyelesaian terbaik.

Bagaimanapun menurutnya, Islam mementingkan keharmonian rumah tangga dengan melarang perbuatan mengganggu isteri orang atau sebarang usaha untuk meruntuhkan institusi keluarga.

"Selaras dengan hukum syarak ini, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 [Akta 559] telah menjadikan perbuatan mengganggu keharmonian rumah tangga sebagai suatu kesalahan.

"Ia selaras dengan hukum syarak seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 36 mengenai kesalahan memujuk lari perempuan bersuami, Seksyen 37 mengenai kesalahan menghalang pasangan yang sudah bernikah daripada hidup sebagai suami isteri dan Seksyen 38 mengenai kesalahan menghasut suami atau isteri supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan.

"Peruntukan ini secara tidak langsung dapat menjamin keharmonian rumah tangga selaras dengan kehendak syarak, " katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Jumaat lalu, Mahkamah Persekutuan memutuskan kes lelaki menggoda isteri orang, mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan tidak lagi boleh diguna pakai dan dimansuhkan.

Ia selepas panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membenarkan persoalan undang-undang oleh seorang ahli perniagaan untuk mendapatkan perisytiharan bahawa seksyen berkenaan tidak berperlembagaan.

Artikel Berkaitan:

Tengku Maimun berkata, seksyen itu dimansuhkan kerana ia melanggar prinsip asas membabitkan kesamarataan jantina.

Mohd Na'im berkata, pemansuhan tersebut tidak menjejaskan peranan agensi seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) untuk terus melaksanakan program pengukuhan institusi keluarga yang menghayati nilai-nilai sakinah, mawaddah dan rahmah.

Pada masa sama, beliau turut menyeru seluruh umat Islam terutama para suami dan isteri untuk bersama-sama berganding bahu melaksanakan kewajipan serta saling memperkukuh institusi keluarga.

"Masing-masing mempunyai kewajipan tersendiri untuk membangunkan keluarga demi anak-anak dan generasi Al-Falah.

"Semua pihak juga dipohon supaya saling meningkatkan akhlak dalam pergaulan seharian agar sentiasa sejajar dengan pedoman ajaran agama Islam," katanya.

Selain itu katanya, agensi-agensi di bawah hal ehwal agama bersama pertubuhan Islam dan pengurusan masjid turut diseru untuk memperhebatkan program pendidikan kepada masyarakat bagi menghayati kepentingan keutuhan sesebuah keluarga demi kehidupan sejahtera.