Dua penunggang motosikal maut dirempuh, diseret lori

Anggota bomba cuba mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Anggota bomba cuba mengeluarkan mangsa yang tersepit.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Dua lelaki berusia 49 dan 54 tahun maut dalam nahas lima kenderaan melibatkan lori, treler, bas dan dua motosikal di Plaza Tol Tanjung Kupang di sini, pada awal pagi Jumaat.

Menurut Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin, nahas berkenaan berlaku sekitar jam 5.50 pagi apabila sebuah lori dipercayai mengalami masalah brek hingga hilang kawalan sebelum bergesel dengan sebuah treler, bas dan dua motosikal di lorong kiri Plaza Tol Tanjung Kupang arah Selatan.

Keadaan lori yang merempuh empat kenderaan lain di Plaza Tol Tanjung Kupang pada awal pagi Jumaat.
Keadaan lori yang merempuh empat kenderaan lain di Plaza Tol Tanjung Kupang pada awal pagi Jumaat.



“Akibat kemalangan itu, kedua-dua penunggang motosikal itu yang dipercayai dalam perjalanan ke tempat kerja di Singapura, mengalami kecederaan parah di kepala dan badan selain diseret oleh lori.

"Pemandu lori hanya mengalami sakit di bahagian dada, manakala pemandu treler dan pemandu bas tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Selain itu, kesemua 29 penumpang bas juga dilaporkan tidak mengalami kecederaan dan terpaksa menaiki bas ganti untuk ke Singapura,” katanya.

Kedua-dua mangsa yang meninggal dunia kemudiannya dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru untuk bedah siasat.

Kes di siasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II Hairulnizam Mohd Noh dari Balai Bomba dan Penyelamat Iskandar Puteri berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Negeri Johor menerima panggilan kecemasan berhubung nahas tersebut melalui talian MERS999 sekitar jam 6.04 pagi, Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Keadaan di lokasi kejadian.
Keadaan di lokasi kejadian.

Katanya, sebaik menerima panggilan berkenaan,satu (1) jentera FRT dan satu (1) RRV dari BBP Iskandar Puteri dengan kekuatan keseluruhan seramai seramai 10 anggota serta satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu jentera Rapid Rescue Vehicle (RRV) telah dihantar ke lokasi.

“Sebaik tiba ke lokasi, pasukan keluaran operasi (PKO) mendapati kemalangan tersebut melibatkan dua lori, sebuah bas pekerja dan dua motosikal di mana terdapat seorang penunggang motosikal terperangkap di bawah lori jenis Nissan Diesel membawa muatan Compound PVC.

“PKO kemudiannya menggunakan peralatan Air Lifting Bag untuk mengangkat lori namun tidak berjaya; lalu PKO meminta bantuan sebuah kren yang melalui lokasi tersebut bagi mengangkat lori dan mangsa berjaya dikeluarkan.

“Bagaimanapun, mangsa dan seorang lagi penunggang motosikal yang disahkan meninggal dunia telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya manakala dua pemandu lori hanya mengalami kecederaan ringan. Operasi ditamatkan pada jam 7.22 pagi, Jumaat,” katanya.