Tahun 2020 yang mencabar

No Image Caption
A
A
A

MEMANG diakui tahun 2020 yang bermula hari ini cukup mencabar bagi kita semua.

Bermula daripada rakyat marhaen, pihak kerajaan hinggalah kepada pemimpin dunia lain, semuanya mengakui tahun yang mendatang ini mempunyai cabaran tersendiri yang harus dihadapi.

Bagi kita rakyat bawahan, sudah pasti kita bakal berdepan dengan pelbagai cabaran seperti persekitaran ekonomi yang tidak menentu, ringgit yang rendah, kos sara hidup yang meningkat, pendapatan yang tidak menentu dan macam-macam lagi.

Paling parah ada dalam kalangan rakan-rakan yang kehilangan sumber pendapatan dalam keadaan tanpa simpanan kewangan mencukupi.

Kerajaan pula antara cabarannya adalah bagaimana untuk menunaikan janji manifesto yang telah ditabur sebelum ini.

Memetik kata-kata Lim Guan Eng pada sidang media di Pulang Pinang 14 Disember lalu, Menteri Kewangan itu berkata, tahun 2020 merupakan tahun mencabar bagi Pakatan Harapan untuk menunaikan 40 peratus lagi janji yang dibuat pada PRU14.

Rakyat juga setuju, mencabar bagi PH untuk tunaikan semua janji itu kerana terdapat antaranya yang mustahil untuk direalisasikan.

Cabaran juga menanti pemimpin dunia seperti Canselor Jerman, Angela Merkel yang berjanji mahu menggunakan segala keupayaannya untuk memastikan perubahan iklim dapat dikawal supaya generasi akan datang dapat hidup aman dan makmur.

Artikel Berkaitan:

Seperti dilaporkan Reuters semalam, pemimpin yang berusia 65 tahun itu dalam mesej tahun baru 2020 berkata, pemanasan global adalah nyata dan ia mengancam. Katanya, suhu dunia yang semakin meningkat disebabkan tangan-tangan manusia itu sendiri.

Bagaimana cara beliau untuk menanganinya?

Jika digariskan, banyak lagi cabaran yang menanti kita semua. Namun tanganilah dengan bijak.

Antara petikan kata-kata yang trending di media sosial berkaitan tahun baru ialah: “Pada tahun 2020 ini, aku tak mahu lagi hidup dalam tekanan dan stres. Tak perlu menjadi kaya atau popular. Aku hanya mahu hidup gembira.” Petikan kata-kata itu sedikit sebanyak dapat membantu kita untuk menjadi lebih tenang dan ceria dalam menghadapi tahun 2020.

Apa yang penting kita harus pastikan kesihatan mental dijaga dengan baik.

Jangan terlalu stres hingga menekan hidup. Ingatlah bahawa dunia hanya sementara dan akhirat kekal abadi!