Sekolah laksana DLP wajib pastikan murid kuasai Bahasa Melayu

Penguasaan bahasa ibunda perlu dipelihara sebagai teras kepada keabsahan pelaksanaan bahasa ibunda di sekolah vernakular. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Fadhlina Sidek)
Penguasaan bahasa ibunda perlu dipelihara sebagai teras kepada keabsahan pelaksanaan bahasa ibunda di sekolah vernakular. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Fadhlina Sidek)
A
A
A

SHAH ALAM - Sekolah yang bersetuju untuk melaksanakan Program Dwibahasa (DLP) wajib memastikan semua kriteria dipenuhi termasuk penguasaan Bahasa Melayu.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pada masa yang sama, penguasaan bahasa ibunda perlu dipelihara sebagai teras kepada keabsahan pelaksanaan bahasa ibunda di sekolah vernakular.

Menurutnya, ini kerana, lawatan di lapangan menunjukkan terdapat murid di sekolah yang melaksanakan DLP tidak mencapai tahap penguasaan asas Bahasa Melayu dan bahasa ibunda.

"Saya ingin menjelaskan bahawa pelaksanaan DLP yang menjadi polemik baru-baru ini merupakan sebahagian daripada Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI).

"Berdasarkan Garis Panduan Pelaksanaan DLP KPM tahun 2021 bertarikh 26 November 2020, sekolah yang melaksanakan DLP perlu memastikan agar peluang murid-murid yang lain untuk mengikuti mata pelajaran sains dan matematik dalam bahasa kebangsaan atau bahasa ibunda tidak terjejas.

"Saya menegaskan iltizam KPM untuk terus berusaha memartabatkan penguasaan Bahasa Melayu dan meningkatkan mutu pendidikan Bahasa Inggeris," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Jelas beliau, pengurusan pelaksanaan DLP adalah melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan pihak sekolah diberikan kebenaran untuk membuka lebih daripada satu kelas DLP bagi murid Tahun Satu dan Tingkatan Satu berdasarkan kesediaan sekolah serta penilaian oleh PPD dan JPN.

Katanya, kelulusan pelaksanaan DLP tertakluk kepada keputusan KPM berdasarkan kes-kes setiap sekolah.

Artikel Berkaitan:

"Pihak KPM mengambil pendekatan manusiawi, iaitu murid-murid kohort sedia ada masih dibenarkan untuk meneruskan kelas DLP.

"Walau bagaimanapun, sekolah perlu mematuhi garis panduan sedia ada bagi kohort baharu murid Tahun Satu dan Tingkatan Satu pada sesi2024/2025.

"Seterusnya, pihak JPN bertanggungjawab untuk memetakan sekolah menengah penerima (acceptor) bagi memastikan setiap kohort murid dapat meneruskan pembelajaran dalam kelas yang melaksanakan DLP di peringkat menengah," ujarnya.

Sehubungan itu tambah beliau, KPM akan terus memantau dan memberikan penerangan mengenai pelaksanaan DLP kepada pentadbir sekolah mengikut keperluan.

"KPM terbuka kepada cadangan serta keperluan inisiatif lanjut daripada masyarakat termasuklah mengadakan sesi dialog bersama pemegang taruh," katanya.