Cakap bahasa Inggeris hebat tapi bahasa Melayu ke laut!

Walaupun bukan satu kewajipan untuk rakyat negara ini boleh berbahasa Melayu, ia adalah salah satu syarat kelulusan permohonan menjadi warganegara Malaysia. - Gambar hiasan 123RF
Walaupun bukan satu kewajipan untuk rakyat negara ini boleh berbahasa Melayu, ia adalah salah satu syarat kelulusan permohonan menjadi warganegara Malaysia. - Gambar hiasan 123RF
A
A
A

MERAK Jalanan bangga apabila Malaysia berada di tangga ke-25 dalam senarai negara fasih berbahasa Inggeris yang dikeluarkan EF English Proficiency Index (EPI) baru-baru ini.

Di peringkat Asia pula, Malaysia muncul sebagai negara ketiga paling fasih berbahasa Inggeris di belakang Singapura dan Filipina.

Ini menunjukkan kemahiran berbahasa Inggeris dalam kalangan rakyat negara ini lebih baik daripada rakyat beberapa negara maju seperti Jepun dan Korea Selatan.

Bagaimanapun, Merak Jalanan agak kecewa apabila mengetahui ada segelintir rakyat negara ini masih tidak fasih berbahasa Melayu walaupun sekadar berkomunikasi mudah.

Sebagai rakyat Malaysia yang telah menetap di negara ini selama belasan atau puluhan tahun, agak pelik jika kita tidak boleh berkomunikasi mudah dalam bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan negara ini.

Bahasa Melayu merupakan bahasa pertuturan yang difahami semua kaum di negara ini. Disebabkan itu, adalah satu keperluan semua rakyat di negara ini boleh bertutur dalam bahasa Melayu.

Dengan bahasa Melayu, kita dapat berkomunikasi dengan semua bangsa sekali gus merapatkan lagi hubungan antara kaum di negara ini. Bahasa Melayu mampu menjadi bahasa perpaduan negara.

Walaupun bukan satu kewajipan untuk rakyat negara ini boleh berbahasa Melayu, ia adalah salah satu syarat kelulusan permohonan menjadi warganegara Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Jika orang luar perlu boleh berbahasa Melayu sebelum menjadi warga negara ini, adalah satu yang memalukan jika rakyat negara ini sendiri tidak boleh bertutur dalam bahasa Melayu.

Ironinya, warga asing seperti Bangladesh dan Nepal yang bekerja beberapa tahun sahaja di negara ini telah mahir berbahasa Melayu malahan lebih baik daripada segelintir rakyat yang lahir di negara ini.