Koc wanita bantu turunkan aduan kes gangguan seksual

Anthony Loke (kiri) dan Noraini Ahmad meninjau keadaan koc wanita dalam perjalanan ke Stesen MRT Kajang pada Khamis. - FOTO: SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
Anthony Loke (kiri) dan Noraini Ahmad meninjau keadaan koc wanita dalam perjalanan ke Stesen MRT Kajang pada Khamis. - FOTO: SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
A
A
A

KAJANG - Ruangan koc dan tempat duduk wanita di sepanjang laluan MRT Kajang membantu menurunkan jumlah aduan kes gangguan seksual.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, walaupun koc wanita tersebut baru beroperasi sejak September lalu, namun jumlah aduan sudah menurun sejak suku tahun keempat.

“Pada suku pertama 2023 terdapat lapan kes, suku kedua 11 kes, suku ketiga lapan kes manakala suku keempat menurun kepada tiga kes.

"Dalam tempoh tiga bulan ini kita lihat aduan berkaitan gangguan seksual sudah pun berkurangan. Saya lihat inisiatif ini telah mendapat sambutan yang baik daripada pengguna," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran Projek Perintis Koc Wanita MRT Laluan Kajang pada Khamis.

Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Mengulas lanjut, Anthony berkata, setakat ini laluan MRT Kajang merupakan kawasan rintis projek koc wanita dan usaha itui akan terus dipergiat bagi memberi keselesaan kepada pengguna selain tahap keselamatan di setiap stesen turut akan dipertingkatkan.

"Kita telah menambah baik ciri-ciri keselamatan di setiap stesen termasuk memperbanyakkan bilangan polis bantuan.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu aspek pencahayaan dari platform ke tempat meletak kenderaan akan terus ditambah baik. Perkara ini sangat penting bagi memastikan keselamatan pengguna dalam keadaan baik," ujarnya.

Dalam pada itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Mohd Azharuddin Mat Sah berkata, projek rintis koc wanita turut dilaksanakan di beberapa bandar raya seperti Dubai, Mexico, Rio De Janeiro Brazil, Jakarta dan New Delhi.

Platform koc wanita di laluan MRT Kajang. Gambar kecil: Mohd Azharuddin
Platform koc wanita di laluan MRT Kajang. Gambar kecil: Mohd Azharuddin

Tambah beliau, sebahagian koc dua dan tujuh digunakan sebagai tempat duduk bagi penumpang wanita.

"Ini bagi memastikan pengguna wanita tidak berasa takut mahupun gusar untuk menggunakan perkhidmatan awam," katanya.