Kes bunuh akauntan: Polis kesan seorang lagi suspek

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis mengesan seorang lagi suspek dipercayai terbabit dengan kes penemuan mayat akauntan sebuah syarikat swasta disyaki dibunuh di tepi Jalan Kuari, Kampung Cheras Baru di sini pada 11 Disember lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, pihaknya sudah mengenal pasti identiti suspek terbabit.

"Kita sedang memburu suspek berkenaan, manakala dua lagi suspek yang ditahan pada 12 Disember lalu akan tamat tempoh reman hari ini.

"Kita akan merujuk kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya (sambung reman atau tidak)," katanya ketika ditemui selepas menghadiri perhimpunan bulanan di sini pada Rabu.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan polis telah merakam keterangan tujuh individu yang terdiri daripada keluarga dan rakan mangsa bagi membantu siasatan berhubung kes itu.

Mayat lelaki berusia 28 tahun itu dijumpai dalam keadaan tertiarap dan tidak berpakaian oleh orang awam pada kira-kira jam 6 pagi, 11 Disember lalu sebelum melaporkannya kepada polis.

Semasa ditemukan tiada sebarang dokumen pengenalan diri pada mangsa, namun identitinya telah dikenal pasti oleh keluarga lelaki itu.

Hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan beberapa kesan kecederaan pada badan mangsa akibat dipukul dengan objek tumpul.

Artikel Berkaitan: