Kapal Israel disekat berlabuh di Malaysia

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Syarikat perkapalan yang berpangkalan di Israel, ZIM disekat dan tidak dibenar berlabuh di mana-mana pelabuhan Malaysia berkuat kuasa serta-merta.

Tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekatan itu adalah tindak balas terhadap tindakan Israel yang mengetepikan prinsip asas kemanusiaan dan melanggar undang-undang antarabangsa menerusi pembantaian dan kekejaman berterusan terhadap warga Palestin.

"Kementerian Pengangkutan akan mengambil tindakan segera dengan mengenakan larangan kekal terhadap syarikat ini berkuat kuasa serta- merta," kata Anwar menerusi kenyataan pada Rabu.

Pada tahun 2002 Kabinet mula membenarkan kapal dari syarikat itu berlabuh di Malaysia manakala pada tahun 2005 pula, kebenaran mendarat turut diberikan kepada kapal tersebut.

Anwar berkata, kerajaan hari ini membatalkan semua keputusan Kabinet lalu.

"Pada masa yang sama, Kerajaan Malaysia turut memutuskan untuk tidak lagi menerima kapal yang menggunakan bendera Israel untuk berlabuh di negara ini," katanya.

Selain itu, ujar Anwar, negara ini turut mengenakan larangan kepada mana-mana kapal yang dalam perjalanan menuju ke Israel daripada memuatkan kargo di pelabuhan Malaysia.

"Kedua-dua sekatan ini berkuat kuasa serta-merta," katanya sambil menambah keputusan tersebut tidak akan menjejaskan kegiatan perdagangan Malaysia.

Artikel Berkaitan: