Pasar raya besar AEON BiG dijana tenaga solar

A
A
A

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad (tengah) menyaksikan penyerahan Sijil Tarif Elektrik Hijau (GET) yang disampaikan Ketua Pegawai Pelanggan TNB, Nasaruddin Mohd Zaini (dua dari kiri) kepada Pengarah Urusan AEON BiG, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed di AEON BiG Wangsa Maju pada Selasa.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad (tengah) menyaksikan penyerahan Sijil Tarif Elektrik Hijau (GET) yang disampaikan Ketua Pegawai Pelanggan TNB, Nasaruddin Mohd Zaini (dua dari kiri) kepada Pengarah Urusan AEON BiG, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed di AEON BiG Wangsa Maju pada Selasa.

WANGSA MAJU - Pemasangan panel solar di lima cawangan AEON BiG (M) Sdn Bhd (AEON BiG) di seluruh negara menandakan langkah penting buat syarikat rangkaian pasar raya besar itu dalam usaha meningkatkan penggunaan tenaga mampan dan pemeliharaan alam sekitar.

Usaha AEON BiG itu berjaya diterjemahkan menerusi kontrak perjanjian kerjasama di antara Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan anak syarikat milik penuhnya, GSPARX Sdn Bhd (GSPARX) yang dimeterai secara rasmi di sini hari ini.

Berdasarkan kontrak Perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Baharu (SARE) itu, sebanyak panel solar diperuntukkan untuk pemasangan di cawangan AEON BiG Wangsa Maju, AEON BiG Tun Hussein Onn, AEON BiG Shah Alam, AEON BiG Bukit Rimau dan di AEON BiG Penang Prai.

Nik Nazmi mencuba kemudahan stesen pengecasan EV yang disediakan di AEON BiG Wangsa Maju sambil disaksikan Sheikh Farouk (kanan).
Nik Nazmi mencuba kemudahan stesen pengecasan EV yang disediakan di AEON BiG Wangsa Maju sambil disaksikan Sheikh Farouk (kanan).

Menurut Pengarah Urusan AEON BiG, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed, kelima-lima cawangan pasar raya besar itu mewakili fasa pertama pemasangan panel solar pada tahun ini.

Artikel Berkaitan:

“Insya-ALLAH dalam fasa kedua dan ketiga, kami akan memperluaskan lagi pemasangan panel solar di cawangan kami yang lain di seluruh negara pada 2024.

"Panel solar ini bukan sahaja mewakili inovasi canggih tetapi juga melambangkan keutamaan AEON BiG dalam pemeliharaan alam sekitar dengan mengurangkan kesan pelepasan karbon serta pergantungan sumber tenaga tidak boleh diperbaharui," katanya selepas menandatangani kontrak perjanjian kerjasama SARE untuk tempoh 20 tahun di AEON BiG di Wangsa Maju, di sini.

Dalam majis itu, TNB diwakili Ketua Pegawai Pelanggan, Nasaruddin Mohd Zaini manakala GSPARX diwakili Pengarah Urusannya, Elmie Fairul Mashuri.

Pengecasan EV

Menyemarakkan lagi penggunaan tenaga dan teknologi hijau, AEON BiG buat kali pertama memperkenalkan kemudahan stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) dengan kerjasama TNB di cawangannya di Wangsa Maju.

“Untuk hari ini, kami telah menyiapkan dua kawasan pengecas EV di AEON BiG Wangsa Maju. Ini adalah yang pertama dan akan diperluaskan ke semua cawangan lain.

“Usaha ini merupakan antara permintaan daripada pelanggan kami, selari dengan perubahan arah aliran massa ketika ini,” jelas beliau lagi.

Pusat kitar semula

Pada masa sama, AEON BiG turut memberi perhatian meningkatkan amalan kitar semula dengan menyediakan Pusat Kitar Semula Pandu Lalu (DTRC) di AEON BiG Wangsa Maju dan tiga merupakan pusat DTRC yang terbaik di Malaysia.

Elmie Fairul (kiri) memberi penerangan mengenai pengecas EV kepada Nik Nazmi (dua dari kiri), Sheikh Farouk (tiga dari kiri) dan Nasaruddin (kanan).
Elmie Fairul (kiri) memberi penerangan mengenai pengecas EV kepada Nik Nazmi (dua dari kiri), Sheikh Farouk (tiga dari kiri) dan Nasaruddin (kanan).

Menurut Sheikh Farouk, DTRC merupakan projek kerjasama dengan SWCorp Wilayah Persekutuan dan Alam Flora Sdn Bhd di AEON BiG Wangsa Maju.

“Melalui kerjasama ini, kami berharap dapat mencapai sasaran kerajaan untuk meningkatkan aktiviti kitar semula pada kadar 40 peratus selain mengurangkan jumlah sisa ke tapak pelupusan menjelang 2025, ujarnya.

Sementara itu, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, mengalu-alukan inisiatif yang dilaksanakan oleh AEON BiG, TNB, dan GSPARX.

NIK NAZMI
NIK NAZMI

Usaha yang diterjemahkan menerusi kerjasama itu katanya secara tidak langsung menyumbang kepada pengurangan jejak karbon di Malaysia.

"Panel solar ini bukan sahaja membekalkan tenaga tetapi juga membawa potensi untuk meningkatkan kualiti hidup masyarakat kita, mengurangkan kos tenaga, dan membantu memelihara Bumi untuk generasi akan datang.

“Langkah sedemikian (AEON BiG, TNB dan GSPARX) menyokong aspirasi kerajaan meningkatkan kapasiti penjanaan elektrik daripada sumber tenaga boleh baharu kepada 70 peratus menjelang 2050,” ujarnya yang yakin usaha AEON BiG itu mampu mengurangkan pengurusan kos serta meningkatkan produktiviti.