Lebih 15 tahun tunggu miliki rumah sendiri

Wan Rosdy menyerahkan replika kunci kepada salah seorang daripada 16 penerima pada majlis penyerahan kunci rumah Projek Perumahan Penempatan Semula Nelayan Bunut Rendang di Wisma Sri Pahang pada Selasa.
Wan Rosdy menyerahkan replika kunci kepada salah seorang daripada 16 penerima pada majlis penyerahan kunci rumah Projek Perumahan Penempatan Semula Nelayan Bunut Rendang di Wisma Sri Pahang pada Selasa.
A
A
A

KUANTAN - Penantian seorang nelayan sejak lebih 15 tahun lalu untuk memiliki kediaman sendiri berakhir apabila menerima kunci rumah di bawah Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN) pada Selasa.

Mohd Zulkifli Yusof, 52, berkata, dia kini boleh berpindah ke rumah sendiri selepas sekian lama menetap bersama ibu bapanya di Peramu dekat sini.

Bapa kepada sembilan anak itu berkata, walaupun rumah itu bukan diberikan secara percuma oleh kerajaan Pahang, namun sekurang-kurangnya harga kediaman itu tidak membebankan.

"Saya bersyukur dapat rumah ini, kalau tidak kami tak mampu miliki rumah sendiri sebab harga rumah (di pasaran) sekarang mahal.

"Tapi untuk rumah ini, kami hanya perlu bayar RM35,000 untuk seunit rumah dan lain-lain kos ditanggung oleh kerajaan," katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan kunci rumah, Projek Perumahan Penempatan Semula Nelayan Bunut Rendang di Wisma Sri Pahang di sini pada Selasa.

Majlis penyerahan replika kunci rumah itu diserahkan kepada 15 penerima termasuk Mohd Zulkifli oleh Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Seorang lagi penerima, Zulkifli Abdullah, 45, turut meluahkan rasa gembira kerana dia kini sudah memiliki rumah sendiri.

"Insya-ALLAH saya akan pindah masuk ke rumah baharu tidak lama lagi, buat masa ini saya masih tinggal bersama keluarga, "katanya yang bekerja di pasar borang di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan dekat sini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Wan Rosdy turut mengingatkan penerima rumah terbabit agar tidak menjual atau menyewa kediaman itu kepada orang lain.

Beliau memberitahu, kerajaan berusaha membantu golongan nelayan yang kurang kemampuan untuk memiliki kediaman sendiri..

"Jadi, jangan jual dan sewakan rumah ini. Kita hendak mereka (penerima) menetap di situ. Kerajaan beri bantuan untuk keselesaan mereka dan nilainya lebih murah daripada harga pasaran," katanya.