Debat Capres panas, hebat

Tiga Capres bersama Cawapres yang menyertai Debat Perdana Calon Presiden Indonesia 2024 di Jakarta pada 12 Disember lalu.
Tiga Capres bersama Cawapres yang menyertai Debat Perdana Calon Presiden Indonesia 2024 di Jakarta pada 12 Disember lalu.
A
A
A

SAYA mengikuti Debat Perdana Calon Presiden (Capres) Indonesia 2024 yang berlangsung pada 12 Disember lalu dengan penuh kekaguman. Ternyata demokrasi Indonesia segar dan sihat.

Sebenarnya keperluan untuk mengadakan debat memang termaktub dalam Pasal 275 Undang-undang (UU) tahun 2017 tentang pemilihan umum.

Komisi Pemilihan Umum (KPU) Republik Indonesia yang merupakan Lembaga Penyelaras Pemilihan Umum (Pemilu) diberikan amanah untuk merencana dan melaksanakan debat itu.

Supaya berlaku adil, tiga debat Capres dan dua debat calon presiden (timbalan presiden atau Cawapres) akan disiarkan oleh TV stesen yang berbeza.

Untuk debat Capres pertama TVRI dan RRI akan menjadi penyiar rasminya. Untuk debat kedua pula TransTV, Tans7, CNN Indonesia, Kompas TV dan BTV diberi hak menyiarkan.

Sementara untuk debat Capres ketiga akan disiarkan oleh MNC TV, iNews, RCTI dan GTV.

Pada Selasa malam, dua wartawan TVRI, Valerina Daniel dan Ardianto Wijaya diberikan amanah sebagai moderator untuk program selama 120 minit itu.

Tiga Capres iaitu Anies Baswedan, Prabowo Subianto dan Ganjar Pranowo tidak disediakan rostrum sebaliknya berdiri tidak jauh dari satu sama lain, secara terbuka untuk ditanya, bertanya dan memberi reaksi.

Artikel Berkaitan:

Untuk debat pusingan pertama bagi Capres ini, KPU memberikan tema pemerintahan, soal hukum, hak asasi manusia (HAM), pembanterasan korupsi, pengukuhan demokrasi, peningkatan layanan publik dan kerukunan warga.

Ketiga-ketiga Capres ini bukan calang-calang orangnya. Masing-masing merupakan pemidato hebat, tokoh politik yang teruji, punya personaliti memikat dan memiliki sokongan yang banyak.

Bagi calon yang diberikan nombor dua iaitu Prabowo, ini merupakan debat ketiga yang pernah dilaluinya sebagai Capres, kedua-dua kali sebelum ini (2014 dan 2019), beliau berdepan Joko Widodo (Jokowi) dan kedua-dua kalinya tewas dalam pemilihan presiden (pilpres).

Memang terasa ada keganjilan format debat kali ini. Capres bukan sahaja harus menjawab soalan moderator tetapi juga soalan dari panel yang dipilih.

Walaupun anggota panel ada di dewan itu tetapi mereka hanya diberikan tugas mencabut undian untuk menentukan soalan yang mana dan kemudian dibacakan oleh moderator. Cara ini banyak dikritik oleh para pemerhati.

Isu paling hangat dalam debat itu tentunya adalah soal keputusan Mahkamah Konstitusi (MK) yang membenarkan usia di bawah 40 tahun untuk bertanding sebagai Capres dan Cawapres.

Keputusan MK itu dianggap pelanggaran etika dan Majlis Kehormatan Mahkamah Konstitusi (MKMK) dibentuk segera.

MKMK memutuskan bahawa Presiden MK yang kebetulan adik ipar Jokowi perlu dipecat. Namun Keputusan MK tidak boleh diubah.

Kedua-dua Anies dan Ganjar menanyakan soalan itu pada Prabowo. Dan reaksi Prabowo menimbulkan banyak kontroversi, khususnya apabila beliau menjawab soalan Anies.

Cara jawapan itu bagaikan melepas geram walaupun disampaikan secara bersahaja dan penuh humor. Reaksi beliau banyak diajuk di media sosial.

Satu lagi isu yang akan sentiasa menghantui Prabowo adalah pembabitan beliau sebagai pemimpin pasukan komando Tim Nanggala di Timor Timur bagi menangani ketegangan di sana. Beliau kemudiannya kembali ke Komando Pasukan Khusus (Kopassus) di Jakarta.

Sewaktu menjadi komandan Grup 3/Sandhi Yudha yang dilabelkan pasukan kontra-insurjensi Kopassus, beliau dikatakan bertanggungjawab menculik, menyeksa malah menyebabkan kematian beberapa orang aktivis reformasi pada penghujung pemerintahan bapa mertuanya ketika itu, Presiden Suharto.

Dalam debat itu berlaku juga kritik-mengkritik serta sindir-menyindir khususnya di antara Anies dan Prabowo.

Apabila Anies menyentuh tentang kurangnya kesediaan pemerintah mendengar kritikan dan membangkitkan keadaan demokrasi yang mulai tercalar, Prabowo mengambil kesempatan untuk menyerangnya.

Kata Prabowo, sekiranya tidak wujud demokrasi di Indonesia dan sekiranya Jokowi itu diktator, Anies tidak mungkin boleh menjadi Gabenor Jakarta.

Malah menurut Prabowo mereka sama-sama pembangkang dan ketika pertandingan Gabenor, dia turut menyokong Anies.

Anies pula menegur bahawa Prabowo tidak tahan menjadi oposisi atau pembangkang kerana menjadi oposisi tidak berada dalam kekuasaan.

“Kekuasaan lebih dari soal bisnes, kekuasaan lebih dari soal wang, kekuasaan adalah kehormatan untuk menjalankan kedaulatan rakyat,” tegas Anies.

Prabowo pula menyindir Anies yang menurutnya gagal menguruskan soal alam sekitar sewaktu menjadi Gabenor Jakarta walaupun diberikan biaya yang besar.

Apabila Anies menimbulkan soal angin yang menjejaskan ukuran kualiti udara, Prabowo lantas menempelak, “Ya susah kalau kita menyalahkan angin.”

Ganjar mengambil kesempatan dari pertelagahan kedua Capres yang lain apabila beliau mengatakan “Saya jadi tidak enak hari ini. Mohon maaf, saya tidak enak kerana dua kawan saya lagi tagih janji dan buka buku lama.”

Perbahasan selepas debat itu tentulah siapa yang menjuarai debat itu.

Rata-rata banyak yang berpendapat Anies lebih menonjol daripada segi hujah dan substance.

Anies dengan tradisi keilmuannya tentunya dapat mengatasi yang lain daripada segi data, maklumat dan penyampaian.

Tetapi banyak juga yang mengingatkan bahawa yang patut dimenangi hatinya adalah sebahagian besar dari 220 juta bakal pengundi daripada kalangan ‘orang biasa’.

Dalam konteks itu pendekatan Prabowo mungkin lebih berkesan. Gaya ajukan, bersahaja malah ada kalanya seperti bersilat dianggap cara terbaik untuk bercakap kepada rakyat.

Ganjar pula memperlihatkan ketenangan yang luar biasa yang bagi banyak penelaah menunjukkan kematangan dan pandai mengambil kesempatan. Orang yang dianggap tiada karisma dapat menawan hati banyak orang malam itu.

Tidak kurang tertonjol adalah Gibran Rabuming Raka, calon Cawapres yang pada satu masa bangun dan terkinja-kinja untuk menggerakkan penyokong Prabowo.

Tindakan anak Jokowi yang menjadi Cawapres Prabowo itu dikatakan menyalahi peraturan debat. Juga menampak betapa tidak matangnya beliau dalam keadaan itu.

* Tan Sri Johan Jaaffar ialah Tokoh Wartawan Negara. Beliau banyak mengikuti perkembangan politik Indonesia.