Bekas Pengerusi Nissan 'lari' ke Lubnan

Carlos Ghosn
Carlos Ghosn
A
A
A

BEIRUT - Bekas Pengerusi Nissan Motor dan Renault SA, Carlos Ghosn yang menanti perbicaraan di Jepun atas tuduhan salah laku kewangan mengesahkan beliau 'melarikan diri' ke Lubnan.

Taikun berusia 65 tahun itu menerusi satu kenyataan pada hari ini berkata, beliau tidak mahu lagi menjadi 'tebusan' sistem kehakiman di Jepun yang didakwa menyaksikan diskriminasi dan penafian hak asasi manusia yang berleluasa.

"Saya kini di Lubnan. Saya tidak melarikan diri daripada keadilan, saya hanya melepaskan diri daripada ketidakadilan dan penganiayaan politik," kata Ghosn yang berjanji akan berkomunikasi dengan media pada minggu depan.

Ia bagaimanapun tidak jelas bagaimana Ghosn yang dihimpit skandal itu berjaya meninggalkan Jepun walaupun ikat jamin yang diberikan kepadanya pada April lalu menghalangnya keluar dari negara itu sejak beliau ditahan pada November 2018.

Ghosn bersama peguamnya telah beberapa kali menyuarakan kebimbangan tentang kemungkinan menghadapi perbicaraan tidak adil di Tokyo.

Peguamnya bagaimanapun memaklumkan beliau tidak tahu tentang rancangan 'melarikan diri' anak guamnya dan enggan memberikan sebarang komen tentang perkara itu.

Stesen penyiar NHK memetik kenyataan Kementerian Luar Jepun melaporkan, Ghosn tidak sepatutnya meninggalkan negara itu.

"Jika kami tahu tentang perkara itu, sudah tentu kami akan melaporkan kepada pihak berkuasa yang sepatutnya," jelas laporan itu lagi.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, media tempatan di Lubnan melaporkan Ghosn menaiki pesawat persendirian dari Turki ke Lubnan yang merupakan negara kelahiran kedua ibu bapanya.

Difahamkan, Ghosn memilih Beirut berkemungkinan kerana negara itu tiada perjanjian ekstradisi dengan Tokyo.

Sebelum ini, beliau mendakwa telah menjadi mangsa konspirasi antara eksekutif Nissan, pendakwa raya dan pegawai kerajaan untuk menghalangnya daripada mengintegrasikan syarikat terbabit dengan Renault.

Ghosn turut didakwa menggunakan sumber korporat untuk keuntungan peribadi, namun tuduhan itu dinafikan oleh beliau. - AFP